PENJELASAN dibuat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengenai penggunaan data rakyat negeri itu dalam pelaksanaan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) ternyata menimbulkan tanda tanya baharu.
Pada Rabu, Amirudin dalam satu sidang medianya menafikan wujudnya kebocoran dan salah guna data rakyat negeri itu ketika pelaksanaan program berkenaan.
Ia selepas terdapat pihak mendakwa terdapat berlakunya kebocoran data peribadi membabitkan keluarganya apabila salah seorang daripada ahli keluarganya didaftarkan sebagai penerima skim INSAN walaupun sudah meninggal dunia.
Mengulas mengenai perkara itu, Amirudin berkata, data berkenaan ialah data awam yang boleh dibeli.
Beliau turut menafikan keuntungan daripada pelaksanaan polisi berkenaan digunakan bagi membiayai kempen pilihan raya lalu.
"Apa yang berlaku, skim ini melaksanakan proses prapendaftaran dengan kita berhubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya SPR boleh mengemukakan data
"Data itu merupakan data awam yang boleh dibeli dan kita mendaftarkan mereka sebagai prapendaftaran.
"Sebab itu bagi mereka yang telah mendapat (notifikasi) prapendaftaran ini, boleh terus mengesahkan maklumat berkenaan pendaftaran tersebut dan barulah mereka akan terangkum di bawah sistem polisi INSAN," ujarnya.
Butir diri pendaftaran berkaitan skim INSAN yang didakwa palsu. — Facebook/ Fais Al-Hajari
Bagaimanapun, menurut seorang pengguna Facebook, Fais Al-Hajar, penjelasan diberikan itu tidak boleh diterima.
Ini kerana dakwanya, kenyataan yang memaklumkan bahawa skim itu melaksanakan proses pra-pendaftaran tidak sepatutnya dibenarkan berlaku.
"Pertamanya, ini sebuah produk kewangan. Mana boleh main daftarkan tanpa consent (persetujuan) penama polisi! Tak tau akta ke? Benda macam ini ada terma dan syarat yang dia kena perhalusi, ada senarai beneficiary (penerima manfaat) yang dia kena isi, banyak lagi.
"Mana boleh daftarkan 'bagi pihak' sesuka hati? Yang keduanya, kalau ini ialah 'prapendaftaran', sepatutnya kat polisi tu tertulis 'pradaftar' atau 'pending activation', bukannya tulis 'polisi diaktifkan'!
"Bila pra-daftar, sepatutnya penama polisi itu akan mengesahkan dan mengaktifkan polisi tersebut sekiranya beliau bersetuju dengan terma dan syarat polisi tersebut. Kemudian barulah boleh ditulis sebagai 'polisi diaktifkan'. Selagi orang tu tak bersetuju, mana boleh!" ujarnya.
Menurutnya, kenyataan di laman web program ISNA juga langsung tidak menyebutkan bahawa skim tersebut dilaksanakan secara 'auto-daftar' atau 'pra-daftar'.
"Nota tambahan, sekadar satu ilmu, dalam dunia insurans tiada pre-register (prapendaftaran). Yang ada cumalah pre-quotation (prasebut harga)," katanya
Fais Al-Hajari merupakan antara pihak yang tampil mempersoalkan status penggunaan data peribadi dalam program skim berkenaan.
Ia selepas dia mendakwa ibunya yang sudah meninggal pada 31 Mei 2022 kini didaftarkan dengan skim insurans tersebut yang bernilai RM10,000 sejak 9 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram