Amirudin selesai angkat sumpah sebagai MB Selangor buat penggal kedua


  • Primer
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Amirudin ketika mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Shah Alam pada Isnin. — Bernama

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada Isnin buat penggal kedua.

Amirudin, 43, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 11.23 pagi.

Turut berangkat pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Amirudin yang pernah diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya, dilantik ke jawatan itu selepas PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos lalu.

Baki 22 kerusi lagi diperoleh Perikatan Nasional (PN).

Pada PRN lepas, Amirudin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua selama empat penggal berturut-turut sejak mula bertanding di kawasan itu pada 2008.

Beliau menang dengan majoriti 5,185 undi dengan memperoleh 19,678 undi menewaskan calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas Suman Gopal (430 undi).

Naib Presiden PKR itu mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun 2018.

Dilahirkan pada 8 Februari 1980 di Pontian, Johor, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

Selain Amirudin, seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor bagi penggal ke-15 mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Seramai tujuh exco adalah muka baharu manakala tiga lagi Adun dilantik kembali ke jawatan itu.

Tujuh exco baharu itu adalah bekas Speaker DUN yang juga Adun Sekinchan, Ng Suee Lim; Adun Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail; Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dan Adun Bandar Utama; Jamaliah Jamaludin.

Selain itu, turut dilantik Adun Banting, V. Papparaidu; Adun Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Adun Taman Templer, Anfaal Saari.

Tiga Exco yang dilantik kembali adalah Adun Kinrara, Ng Sze Han; Adun Pandan Indah, Izham Hashim dan Adun Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram