CALON Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Abe Lim Hooi Sean menafikan dakwaan mengatakan dirinya tidak menghargai sukarelawan yang tampil membantunya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ia selepas tular sejak Isnin satu gambar tangkap layar di sosial media yang memaparkan tindakan pihaknya menyingkirkan secara beramai-ramai sukarelawan yang terbabit bersamanya pada pilihan raya baru-baru ini daripada kumpulan Whastapp pasukannya.
Menjawab mengenai dakwaan tersebut, Hooi Sean , 27, yang juga aktivis alam sekitar berkata, tindakan mengeluarkan individu daripada kumpulan Whatsapp berkenaan adalah bertujuan untuk memberi ruang buat pasukannya melakukan perancangan baharu.
Jelasnya, tuduhan mengatakan dia langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang bersamanya sepanjang kempen juga adalah tidak benar.
"Saya ada ucapkan penghargaannya kepada sukarelawan. Sebab mengapa ramai individu disingkirkan daripada kumpulan itu termasuk saya sendiri adalah kerana ada rancangan untuk membuat kumpulan baharu dalam masa terdekat.
"Kumpulan baharu ini akan merangkumi ahli Muda dan mereka yang ingin menyumbang kepada misi alam sekitar saya. Ia akan melibatkan pelaksanaan garis panduan tertentu untuk memastkan keberkesanan kumpulan tersebut," katanya ketika dihubungi Majoriti pada Isnin.
Tangkap layar tular sejak Isnin yang mendakwa pihak Abe menyingkirkan secara beramai-ramai sukarelawan yang bersamanya ketika kempen PRN lalu dari kumpulan Whatsapp.
Hooi Sean turut berkongsikan tangkap layar bukti memaparkan mesej terima kasih yang diberikannya di dalam kumpulan tersebut pada pada malam 12 Ogos lalu selepas keputusan diumumkan.
Menerusi pesanan tersebut, Hooi Sean berkata, meskipun keputusan pilihan raya tidak menyebelahinya, dia menganggap ia hanya sebagai satu permulaan untuk pasukannya terus berjuang bagi lima tahun akan datang.
Dalam mesej berkenaan, dia juga menyatakan kepada sukarelawan dan penyokongnya agar tidak khuatir kerana dirinya masih belum mengalah untuk terus berjuang bersama-sama untuk tahun-tahun mendatang di DUN berkenaan.
"Saya harap anda semua akan kekal dalam perjalanan ini bersama saya untuk 5 tahun akan datang dan buktikan kepada semua orang bahawa kita benar-benar berada di sini sebagai pihak yang melakukan semak dan imbang," ujarnya.
Bukti dikongsikan Hooi Sean mengenai ucapan penghargaan yang disampaikannya di dalam kumpulan Whatsapp sukarelawan selepas pengumuman keputusan DUN Bandar Utama.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perancangan mahu dilaksanakan di kawasan Bandar Utama dalam tempoh akan datang, Hooi Sean berkata, selain bertindak sebagai semak dan imbang, dia akan memberikan tumpuan terhadap projek pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, pada PRN lalu, penduduk di kawasan itu juga secara umumnya menghargai dan memberikan reaksi positif terhadap mesej yang ingin disampaikannya.
"Sebagai pendatang baharu dalam politik, saya faham membina kepercayaan memerlukan masa, terutamanya dalam konteks politik. Walaupun begitu, saya berbesar hati dengan hubungan yang berjaya dibina.
"Saya berharap untuk menghabiskan empat tahun akan datang bekerja rapat dengan komuniti akar umbi untuk menangani kebimbangan mereka dan secara langsung mendapatkan pandangan mereka tentang isu-isu yang paling penting kepada rakyat," ujarnya.
Pada PRN lalu, Hooi Sean tewas di tangan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Jamaliah Jamaluddin yang memperolehi majoriti besar 35,422 undi apabila mendapat 39,791 undi.
Dalam saingan tersebut, Hooi Sean hanya mendapat 2,496 undi, sekali gus menyaksikannya kehilangan deposit manakala satu lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN), Aliff Taufid (4,369 undi). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram