Selain Amirudin, 3 nama lain berpotensi jadi MB Selangor


  • Politik
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Gabungan PH dan BN berjaya memenangi 34 kerusi pada PRN kali ini. — Gambar hiasan

KEHANGATAN suhu politik negara pada minggu ini masih belum reda meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di enam negeri sudah berakhir pada Sabtu lalu.

Pada waktu ini, isu yang menjadi tumpuan pastinya mengenai pelantikan Menteri Besar di keenam-enam negeri terbabit.

Setakat Rabu, lima daripada enam negeri terlibat sudah pun menyelesaikan pelantikan bagi jawatan berkenaan iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Satu-satunya negeri belum melakukan pelantikan Menteri Besar ialah Selangor yang dimenangi oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)

Ketika tempoh berkempen pada 18 Julai lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumumkan bahawa gabungan itu akan mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan itu berjaya terus mentadbir negeri itu selepas PRN kali ini.

Bagaimanapun, kedudukan Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu dilihat belum benar-benar selamat.

Ia selepas PH Selangor mengesahkan bahawa gabungan itu menghantar tiga nama calon bagi Menteri Besar kepada pihak Istana Selangor.

Perkembangan itu bermakna terdapat dua lagi calon selain Amirudin yang berpeluang menjadi Menteri Besar Selangor baharu.

1674918

Menteri Besar sementara, Datuk Seri Amirudin Shari.

Untuk rekod, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Izham Hashim berkata, gabungan parti itu secara konsensus bersetuju untuk mengekalkan Amirudin.

Katanya, tindakan menghantar tiga nama itu dilakukan atas permintaan istana.

Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor mungkin tidak berlangsung sehingga Jumaat.

Ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sedang pulih daripada pembedahan prostat di London baharu sahaja pulang ke tanah air.

Berikut Majoriti senaraikan tiga nama daripada PH yang berkemungkinan turut dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor kali ini:

1. Dr Fahmi Ngah

F3Qh2b3WUAAxLcQ

ADUN Seri Setia, Dr Fahmi Ngah. — Twitter

Menurut laporan media, antara nama dipercayai diletakkan dalam pencalonan kepada istana itu ialah Dr Fahmi Ngah yang berjaya memenangi DUN Seri Setia.

Pada Sabtu lalu, Fahmi, 48 yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan aeronautik dari Imperial College London berjaya menewaskan tiga lagi pesaingnya dengan majoriti besar 11,331 undi meskipun baru pertama kali bertanding.

Beliau yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu berjaya memperolehi 32,367 undi manakala pencabarnya Mohd Zubir Embong daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 21,036 undi; Dobby Chew, Muda (1,357 undi) dan Harindran Krishnan, Bebas (693 undi).

Untuk rekod, Fahmi yang juga pengarah urusan Institut Penyelidikan Selangor merupakan antara individu berperanan dalam pembentukan polisi di negeri itu.

Selain itu, beliau turut dilihat dekat dengan Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan kedua-duanya pernah bekerja bersama-sama sebelum ini.

2. Borhan Aman Shah

State Rural Development, Village Traditions, Malay Customs, Culture and Heritage committee chairman Borhan Aman Shah..— KK SHAM/The Star

ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.

Sementara itu, satu lagi nama yang dilapor turut dicalonkan ke istana ialah Borhan Aman Shah yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Amirudin.

Pada PRN kali ini, beliau berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ADUN Tanjong Sepat buat penggal kedua apabila menewaskan pesaingnya Sabirin Marsono daripada PN dalam saingan dua penjuru.

Beliau yang memperolehi 13,860 undi menang dengan majoriti 2,524 undi manakala lawannya, Sabirin mendapat 11,336 undi.

Untuk rekod, Borhan, 61, turut pernah menyandang jawatan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan ketika pentadbiran terdahulu.

3. Jamaliah Jamaluddin

(From left) Bandar Utama candidates PH Jamaliah Jamaludin, MUDA Candidate Lim Hooi Sean (Abe Lim) and PN Candidate Nur Alif Muhd Tafid posing for photo at Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Petaling Jaya for the nomination day for N.35 Kampung Tunku, N.36 Bandar Utama and N. 37 Bukit Lanjan. — FAIHAN GHANI/The Star

Jamaliah (kiri) ketika hari penamaan calon pada PRN lalu.

Dalam perbincangan mengenai isu pemilihan Menteri Besar Selangor kali ini, satu nama yang turut timbul untuk dicalonkan adalah ADUN dari DAP bagi DUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Pertimbangan tersebut berbangkit kerana ramai berpandangan bahawa DAP sepatutnya diberikan pertimbangan untuk jawatan itu kerana parti itu memiliki jumlah kerusi tertinggi dengan 15 kerusi diikuti PKR (12), Amanah (lima) dan BN (dua).

Jamaliah, 34, juga dilihat memenuhi syarat untuk menjadi Menteri Besar Selangor iaitu Melayu dan beragama Islam.

Pada PRN kali ini, beliau ditampilkan sebagai satu-satunya calon Melayu DAP di negeri itu berjaya menang di DUN Bandar Utama dengan majoriti besar sebanyak 35, 446 undi dalam saingan tiga penjuru, sekali gus mempertahankan kerusi itu buat penggal kedua.

Jamaliah yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa Universiti Northwood memperoleh 39,845 undi manakal pesaingnya, Aliff Taufid dari PN (4,399 undi) dan Abe Lim, Muda (2,496). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram