[VIDEO] Polis cekup lelaki buat panggilan palsu bom di pusat beli belah Klebang


  • 112
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Anggota Polis mengawal keadaan di luar bangunan pusat beli belah di AEON Klebang, Perak pada Rabu susulan daripada ancaman bom yang dibuat oleh seorang lelaki pada Rabu. — Bernama

POLIS menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan palsu ancaman bom di pusat beli-belah Aeon Mall Klebang, Chemor, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Kommisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki warga tempatan tersebut ditahan pada pukul 9.30 malam Rabu di kawasan Tasek, Ipoh.

"Suspek dipercayai bertanggungjawab berdasarkan pengakuan dikumpul dan peranti komunikasi yang digunakan untuk membuat panggilan palsu.

"Suspek akan direman pada Khamis untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun keseksaan dan dengan tertangkapnya suspek kes dianggap selesai.

"Pemeriksaan di seluruh premis tidak menemukan sebarang objek meragukan. Kawasan bangunan disahkan selamat dan semua kakitangan dibenarkan masuk semula pukul 10.30 malam tadi (Rabu)," katanya.

Pada Rabu, bangunan itu terpaksa dikosongkan dan dihenti operasi selepas pekerja premis menerima panggilan ancaman bom kira-kira 5.30 petang.

Susulan itu, Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dibantu pasukan bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh di bangunan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram