KES buli di jalan raya tidak pernah kehabisan, semakin hari kian menjadi-jadi sehingga mengundang pergaduhan serta kematian.
Terbaharu, tular satu video melibatkan seorang pemandu kenderaan jenis Honda Accord didakwa membuli seorang penunggang motosikal di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada Ahad berdasarkan catatan waktu kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam, namun tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian.
Video itu kemudiannya dimuat naik di laman Facebook Video Viral Malaysia pada Selasa.
Melalui video itu memaparkan pemandu dan penunggang motosikal berkenaan pada mulanya dilihat 'berperang mulut' di sebuah jalan raya.
Pemandu itu juga dilihat memandu dengan cara berbahaya apabila dilihat memperlahankan kenderaannya beberapa kali sehingga menyebabkan kereta lain di belakangnya terpaksa memberikan ruang dan memperlahankan kenderaan mereka.
Pergaduhan mereka itu menjadi semakin tegang apabila kedua-dua pemandu dan penunggang motosikal berkenaan enggan mengalah.
Dalam video berdurasi lebih seminit itu juga, kenderaan tersebut dilihat menukar laluannya ke lorong tengah sebelum menekan brek secara tiba-tiba sehingga menyebabkan motosikal itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut.
Impak daripada rempuhan itu juga sekali gus menyebabkan penunggang motosikal berkenaan jatuh tersungkur di tengah-tengah jalan raya.
Lebih menyakitkan hati, pemandu tersebut terus meninggalkan tempat kejadian tanpa rasa bersalah.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram