[VIDEO] Hutang mungkin punca lelaki dilibas berjemaah depan kekasih dengan kayu hoki, parang di Kuching


  • 112
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Tangkap layar seorang lelaki dipukul beramai-ramai di salah sebuah lokasi dekat Matang, Sarawak pada Isnin.

TINDAKAN sekumpulan lelaki memukul serta mencederakan seorang individu di sebuah lokasi dekat Matang, Kuching, Sarawak pada Isnin mengundang kecaman warga maya.

Manakan tidak, tindakan sekumpulan lelaki tersebut yang menggunakan senjata parang dan kayu hoki dianggap bacul kerana mengasari lelaki berkenaan yang dilihat tidak melawan.

Melalui video tular yang dimuat naik sejak Isnin, kelihatan ketiga-tiga suspek seperti naik hantu terus mencederakan mangsa yang tidak melawan.

Malah, mangsa juga dilihat cuba melarikan diri namun gagal apabila dia masih dikejar dan salah seorang suspek dilihat melibas parang ke arahnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong mengesahkan kejadian terbabit.

"Lima suspek yang terlibat dalam kes mendatangkan cedera parah dan merusuh seorang lelaki di sebuah premis yang terletak di kawasan Matang ditangkap polis petang Isnin.

"Kelima-lima lelaki tempatan itu ditahan menerusi satu operasi khas dari jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan susulan laporan dibuat pada pukul 1.16 petang tadi (Isnin) melibatkan seorang lelaki berusia 30-an cedera akibat dilibas dengan parang dan kayu hoki sekitar pukul 1 pagi tadi (Isnin).

"Mangsa kini dalam keadaan stabil namun masih memerlukan pemerhatian rapi," katanya dalam satu kenyataaan pada Isnin.

Tambah Lim, mangsa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak akibat cedera di badan dan kaki, selepas gagal melarikan diri dari kumpulan bersenjata tajam berkenaan.

"Difahamkan, mangsa sedang makan malam bersama teman wanitanya di premis berkenaan sebelum didatangi lima suspek yang mendakwa mangsa mempunyai hutang dengan salah seorang daripada kumpulan itu.

"Kes kini disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram