Seperti sudah tahu, 'pilot' tragedi Elmina beri nombor telefon isteri kepada rakan


  • Massa
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Shahrul Kamal Roslan antara korban nahas pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

SEAKAN tahu beliau akan meninggalkan insan tersayang buat selama-lamanya, juruterbang pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis, Shahrul Kamal Roslan, berkongsi nombor telefon isterinya dengan rakan sekerjanya.

Syed Tahir Syed Mohamad, 39, berkata, adik iparnya berusia 42 tahun itu memberikan nombor telefon isterinya kepada "Kapten Halim” minggu lalu dan memintanya menghubungi isterinya sekiranya ada apa-apa berlaku kepadanya.

"Sebelum ini Arwah tak pernah (kongsi nombor telefon isteri). Halim pun terkejut kenapa bagi nombor telefon isteri, Mungkin dia (Shahrul Kamal) dapat merasakan (sesuatu) cuma tak bagi tahu.

"Halim orang pertama beritahu mengenai nahas terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor pada Jumaat.

Beliau berkata, adik iparnya merupakan seorang yang penyayang, periang dan disenangi sahabat handai dan ahli keluarga selain seorang juruterbang yang cekap dan turut digelar "comel" oleh rakan sekerjanya.

Syed Tahir ketika berada di perkarangan hospital

Syed Tahir ketika berada di perkarangan hospital HTAR pada Jumaat.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Jabatan Forensik HTAR dan kemudian dibawa ke rumah ibu bapa Allahyarham di Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Kuala Lumpur.

Sementara itu, rasa tidak senang hati seorang isteri ternyata membawa berita duka apabila mengetahui suaminya Allahyarham Shaharul Amir Omar, 49, antara korban nahas pesawat sama.

Suhaila Akasha, 46, berkata rasa tidak senang hati bermain dalam fikirannya apabila mengetahui tentang kejadian itu di media sosial dan mula rasa terdetik suaminya terlibat sama walaupun beliau pada masa itu tidak tahu suaminya adalah penumpang pesawat berkenaan.

"Sekarang zaman media sosial, jadi bila kita tengok hati kita terdetik, naluri kita sebagai seorang isteri, walaupun tiada siapa yang beritahu dia ada dalam kapal terbang itu.

"...tapi bila kita tengok jenis kapal terbang itu dari mana, jam berapa, kemudian ada orang maklumkan dia ada dalam pesawat itu, saya terima lah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTAR.

Suhaila hanya mengetahui berita mengenai suaminya yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang memaklumkan Allahyarham antara nama yang disenaraikan menaiki penerbangan terbabit.

Allahyarham, yang merupakan pegawai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, meninggalkan empat orang anak.

Pada Khamis, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu termasuk Johari maut.

Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat itu, manakala dua lagi adalah orang awam, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang berada di kawasan nahas.

Pesawat itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pukul 2.50 petang namun terhempas dua minit sebelum mendarat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram