[VIDEO] Terperdaya tawaran kerja, 5 lelaki temui ajal, dipaksa penggal kepala rakan sendiri


  • Benua
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Tangkap layar lima individu lelaki ditahan oleh sekumpulan kartel dadah di Guadalajara, Mexico.

LIMA individu lelaki menjadi mangsa kekejaman kumpulan kartel dadah yang membunuh kesemua mereka dalam satu kes pembunuhan yang berlaku di Guadalajara, Mexico pada Jumaat.

Lebih menggerunkan, seorang daripada mereka dipaksa memenggal kepala rakan baiknya sebelum dia sendiri dibunuh oleh kumpulan kartel tersebut.

Ketika kejadian, mangsa diarahkan untuk berbaring sebelum salah seorang daripada lima individu itu perintahkan untuk memukul dan memenggal kepala rakannya.

Rakaman video dikeluarkan oleh anggota kartel Jalisco New Generation Cartel (CJNG) menunjukkan Roberto Olmeda, 20; Diego Lara, 20; Uriel Galván, 19; Dante Cedillo, 22; dan Jaime Martínez, 21, melutut sambil memberikan pandangan sayu ke arah lensa kamera.

Kesemua mangsa mengalami kesan lebam di bahagian muka dengan pita di mulut dan tangan diikat ke belakang.

Mangsa difahamkan terlebih dahulu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri festival di bandar tersebut.

Saksi berkata, sekumpulan lelaki bersenjata telah menahan kenderaan dinaiki mangsa di Mirador San Miguel, Mexico sebelum memindahkan mereka ke dalam pikap dan van putih bercermin gelap.

Tidak lama selepas itu, rakaman pembunuhan kejam itu telah tersebar meluas di laman media dengan salah seorang mangsa dipaksa memukul, menikam serta memenggal kepala rakan baik yang dikenalinya sejak kecil.

Dalam video itu, tulisan di dinding 'Puro MZ' jelas kelihatan dipercayai merujuk kepada El Mayo Zambada iaitu ketua Kartel Sinaloa (CDS) yang merupakan musuh utama CJNG.

Menurut laporan agensi, kelima-lima mereka telah terpedaya dengan tawaran pekerjaan palsu oleh kartel terbabit.

Namun, sebaik tiba di lokasi dijanjikan, kesemua mereka dipaksa untuk menjalankan kegiatan haram dan diugut bunuh jika enggan melakukannya.

Kartel tersebut menawarkan pekerjaan palsu melalui nama syarikat yang tidak wujud selain turut menawarkan gaji serta faedah yang tidak masuk akal.

Gabenor Enrique Alfaro berkata, kes tersebut jelas melibatkan kartel dadah dan meminta pihak pendakwa raya persekutuan mengambil alih kes itu.

"Apa yang kita berlaku ini merupakan perbuatan jenayah yang terancang.

"Ini adalah serangan yang tidak rasional, ganas dan memberi kesan terhadap kestabilan negeri Jalisco, dan mereka menggesa tindakan diambil daripada pihak kerajaan persekutuan," ujarnya di laman Facebook. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram