KAPTEN Shahrul Kamal Roslan, yang terkorban dalam nahas pesawat di perbandaran Elmina, Shah Alam, Selangor disifatkan sentiasa ceria dan tersenyum, ujar sepupunya, Shahriel Hanifah.
Saintis data berusia 29 tahun dari Klang Gate, Hulu Kelang, Selangor itu berkata, Shahrul atau nama panggilannya, 'Adek' merupakan seorang yang ceria.
"Dia tidak pernah bermasam muka kerana personalitinya memang seorang yang periang dan sentiasa diingati ramai.
"Dia juga peramah dan mesra terhadap orang ramai walaupun dengan orang yang tidak dikenali.
"Saya tidak pernah melihat dia dalam situasi yang tidak baik ataupun sedang marah dan hubungan kami sesama sepupu memang rapat jadi anda bayangkanlah apa perasaan kami sebaik menerima berita tersebut.
"Kami berharap dia terselamat, tetapi pada peringkat ini, kami terpaksa menerima takdirnya," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapa Shahrul di Wangsa Melawati Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ahli keluarga dan rakan-rakan telah berkumpul di rumah Allahyarham Shahrul untuk memberi penghormatan kepada ibu bapanya.
Shahriel berkata, kebanyakan mereka melihat rakaman yang tersebar di media sosial mengenai nahas tragis tersebut tetapi hanya dimaklumkan tentang kematian Shahrul selepas menerima khabar berita daripada pihak penerbangan.
"Jadi, anda boleh bayangkan betapa terkejutnya kami kerana kami sudah melihat video tersebut. Bagaimana ini boleh berlaku kerana Shahrul adalah seorang juruterbang yang berpengalaman dan telah terbang ke seluruh dunia.
"Shahrul pernah bekerja dengan Etihad Airways, melakukan penerbangan jarak jauh dan dia pernah bercadang untuk berhenti sebelum kebanyakan juruterbang kehilangan pekerjaan semasa wabak Covid-19 melanda.
"Beliau menceburi bidang perniagaan dan menjual ais krim kerana menurutnya, lebih baik keluar daripada industri penerbangan daripada dibuang kerja," katanya.
Bagaimanapun, Shahriel berkata, sepupunya itu kembali menceburi industri penerbangan dan terbang ke pelbagai destinasi, sambil menambah ada kalanya dia terlepas cuti perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri kerana perlu bertugas di luar negara.
Tambahnya, Shahrul sentiasa mahu mengikut jejak langkah bapanya untuk menjadi seorang juruterbang.
"Bapanya merupakan seorang juruterbang di Malaysia Airlines sebelum bersara, jadi sudah tentu dia mahu mengikut jejaknya.
"Sepupu saya sebenarnya belajar dalam kursus lain tetapi dia mula meminati kerjaya dalam bidang penerbangan.
"Walaupun sibuk, Shahrul tetap menghadiri majlis perkahwinan saya selepas dia terlepas untuk ke majlis akad nikah saya.
"Kenangan itu adalah sesuatu yang saya tidak boleh lupakan kerana dia meluangkan masa untuk datang dan memastikan saya ingat dia hadir ke majlis perkahwinan saya," katanya.
Shahriel berharap setiap orang yang terbaca akan kisah sepupunya juga akan menganggapnya sebagai seorang lelaki yang ceria dan suka tersenyum.
"Apabila saya memikirkan tentang tragedi nahas itu, banyak perkara yang terlintas di fikiran saya. Ini adalah penerbangan rutin baginya jadi sukar untuk memastikan apa yang berlaku sebelum nahas itu.
"Saya cuma berharap berpeluang bertemu dengannya semasa Hari Raya baru-baru ini, tetapi itu tidak berlaku kerana tugasnya terlampau sibuk jadi kami hanya berhubung melalui telefon sahaja," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram