Tragedi pesawat terhempas, peranan doktor gigi mampu kenal pasti mayat — Pakar


  • Massa
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Pihak polis dan pakar Forensik sedang menjalankan siasatan berhubung identiti mangsa terkorban di Emina, Shah Alam, Selangor. — Bernama

TRAGEDI pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis telah menggemparkan seluruh masyarakat Malaysia.

Melibatkan 10 angka kematian, dua daripadanya merupakan orang awam yang berada di kawasan jalan raya terbabit sebelum terkorban akibat letupan pesawat tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak polis khususnya sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dengan setakat ini kesemua mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an yang mana lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat.

Perhatian masyarakat ketika ini pastinya tertumpu kepada keputusan siasatan yang dijalankan pihak terbabit dengan unit forensik juga turut terlibat sama dalam hal tersebut.

Polis Forensik giat menjalankan siasatan berhubung proses pengecaman identiti mangsa terkorban di Elmina, Shah Alam. — Bernama

Namun, segelintir pihak pastinya terlepas pandang bahawa usaha itu turut melibatkan satu pihak lagi iaitu doktor gigi.

Kepentingan doktor gigi dalam kes melibatkan kematian dan pengecaman mayat merupakan salah satu daripada keperluan utama dengan kepakaran pihak terbabit mampu menjawab segala persoalan berhubung pengenalan identiti si mangsa.

Perkara itu dinyatakan oleh seorang individu dikenali sebagai Dr Ibrahim Shahruddin ataupun @ib_shah di laman Twitter yang berkongsi tentang kepentingan doktor gigi dalam tragedi di Elmina baru-baru ini.

Merupakan seorang doktor gigi dan juga pengasas kepada pusat klinik pergigian iCare Dental, individu terbabit menjelaskan peranan doktor gigi dalam setiap insiden dan tragedi melibatkan kematian negara.

shw

Salah satu ciapan Dr Ibrahim Shahruddin berhubung peranan doktor gigi dalam tragedi kematian. — Twitter/@ib_shah

Menurutnya, dunia forensik pergigian merupakan satu bidang khas untuk mengecam bahan bukti dan sisa pergigian bukan sahaja di Elmina, malah tragedi MH17, Lahad Datu dan beberapa lagi kes nahas helikopter juga turut melibatkan pihak terbabit.

"Apabila bencana melanda, rekod pergigian penting dalam membantu penyiasatan. Ciri pergigian yang unik, tampalan gigi dan rawatan pergigian boleh menjadi kunci pengenalan mayat.

"Apabila mayat terjejas teruk akibat impak, letupan dan kebakaran rekod pergigian dapat diambil kerana gigi dilitupi enamel, iaitu bahan yang paling keras dalam badan manusia.

"Ahli forensik pergigian bersama pasukan lain seperti polis dalam pasukan 'Disaster Victim Identification' (DVI), mencari bukti pergigian bagi mengenal pasti mayat agar mereka boleh diberi penghormatan terakhir oleh keluarga masing-masing," ciapnya di Twitter.

Tambahnya, usaha dilakukan pakar forensik pergigian juga mampu untuk mengenal pasti bentuk gigitan dalam kes trauma, mengesan usia si mangsa, membantu kajian akhir makmal dam memberi keterangan profesional di mahkamah.

ggiig

Ibrahim Shahruddin (kiri) merupakan pengasas kepada pusat klinik pergigian iCare Dental.

Sementara itu, Dr Ibrahim Shahruddin turut menyatakan kepentingan kesemua petugas doktor gigi di klinik harian dengan simpanan rekod daripada pesakit mereka, akan diperlukan pada masa tertentu.

"Jadi apa peranan semua doktor gigi yang lain? Sentiasa menyimpan rekod (charting, radiographs, study model) secara lengkap serta terperinci dan sedia dikongsikan kepada pasukan DVI yang sah apabila diperlukan.

"Peranan masyarakat? Rawatan pergigian secara berkala penting untuk kesihatan oral dan rekod orang ramai.

"Maklumkan kepada keluarga dan kenalan di mana klinik gigi yang anda lawati dan di sinilah 'missing link' bagi team DVI untuk mendapatkan rekod dari klinik," katanya.

Di sebalik kesedihan yang dirasai seluruh rakyat Malaysia ketika ini, beliau turut berharap agar orang ramai menyedari akan peranan serta sumbangan doktor gigi dalam siasatan berhubung kes di Elmina.

Kewujudan pakar pergigian mungkin kurang mendapat pendedahan di halaman berita namun usah kita lupakan jasa pihak berkenaan yang sememangnya penting sama seperti petugas hadapan yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram