[VIDEO] Nasib baik ada CCTV, wanita dakwa 'bibik' kantoi pukul, hayun bayi berusia 2 bulan


  • Tular
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Tangkap layar seorang pengasuh didakwa mendera seorang bayi berusia dua bulan baru-baru ini.

KES penderaan kanak-kanak semakin berleluasa seperti yang dilaporkan oleh media sejak kebelakangan ini.

Baru sahaja reda kes seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya dipercayai ibu kandungnya pada minggu lalu, seorang ibu pula mendakwa anaknya didera pengasuh dalam satu kejadian baru-baru ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Eco Majestic, Semenyih, Selangor.

Malah kejadian tersebut turut berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang terletak di dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut.

Melalui perkongsian seorang wanita Amyra Nadya di akaun TikTok peribadinya, kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu.

"Luluh hati bila check (periksa) rakaman CCTV dengan muka tak puas hati pengasuh.

"Sedangkan anak saya senang sangat dijaga tetapi kalau hati sudah busuk akan jadi seperti itu.

"Bukan main kuat dia pukul. Harap video ini akan sampai ke Indonesia, biar kaum kerabat dia tahu perangai dia macam mana.

"Bukan main 'sedap' pukul dan hayun anak orang," tulisnya.

Dalam video berdurasi lebih seminit yang dimuat naik pada Sabtu itu memaparkan pengasuh berkenaan berada di dalam sebuah bilik tidur bersama bayinya yang berusia dua bulan.

Amyra mendakwa, pengasuh yang dikenali sebagai Bibik Julie dan berasal dari Indonesia itu mula mengasari anak keduanya kerana tidak mahu tidur.

"Pada waktu kejadian, saya berada di luar bilik memberi anak sulung makan dan kebetulan bayi saya menangis. Jadi saya minta bibik (pengasuh) dodoikan sementara.

"Tak sampai 10 minit dia tidurkan anak saya, dia terus angkat dan boleh dengar dia pukul dengan kuat dan hayun laju-laju.

"Bila saya masuk bilik bibik terus berlakon kononnya nak pujuk anak saya," katanya.

Tambahnya Amyra lagi, dia sudah pun memecat serta menghalau pengasuh tersebut daripada rumahnya dan pada masa turut memberi amaran kepada wanita di luar sana untuk tidak mengambil pengasuh tersebut bekerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram