CADANGAN Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza boleh menyebabkan perpecahan dan menjarakkan lagi hubungan kerajaan persekutuan dan negeri.
Pengasas Gerak Independent, Tawfik Ismail menyifatkan cadangan oleh Perikatan tersebut sebagai satu idea buruk.
“Ia adalah pengkhianatan terhadap semangat perpaduan yang diterapkan oleh Bapa Kemerdekaan suatu ketika dahulu.
“Sambutan Hari Kebangsaan adalah serupa dengan sambutan hari jadi atau ulang tahun di mana semua orang berkumpul untuk meraikannya.
"Apa yang cuba dilakukan oleh negeri-negeri di bawah pentadbiran PN ialah memecahbelahkan sambutan peringkat kebangsaan," katanya dalam satu temu bual bersama The Star.
Bekas Ahli Parlimen yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu berkata, langkah sedemikian akan mengganggu ke arah pembinaan negara.
“Mereka tidak memudahkan Kerajaan Persekutuan atau negara secara keseluruhannya. Agenda mereka mengganggu dan memecahbelahkan banyak pihak ,” kata Tawfik.
Tawfik berpendapat cadangan oleh Perikatan tersebut sebagai satu idea buruk.
Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu iaitu empat negeri di bawah pemerintahan PN boleh menggunakan logo dan tema yang berbeza daripada yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk sambutan itu.
Logo Pemuda Perikatan menggambarkan bunga raya dengan lima kelopak yang merupakan bunga kebangsaan, dalam warna bendera Malaysia selain bertemakan Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera.
Tema kerajaan untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ialah Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Bridget Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji mengecam cadangan itu dengan mengatakannya sebagai langkah angkuh pembangkang dan turut menyifatkan ia pengkhianatan terhadap prinsip federalisme yang diamalkan di negara ini.
“Bagi pembangkang mencadangkan logo dan tema yang sepatutnya datang daripada kerajaan perpaduan sekarang bukan sahaja angkuh tetapi juga menanam sentimen antikerajaan di negara ini,” katanya.
Persatuan bekas tentera dan veteran juga menggesa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil 'tindakan drastik terhadap perbuatan dengan niat berbahaya itu'.
Datuk Mohamed Arshad Raji.
"Sudah tentu, Raja-Raja kita tidak akan membenarkan pengkhianatan terhadap federalisme yang telah dipelihara dengan bersungguh-sungguh selama beberapa dekad ini," katanya.
Beliau memberi amaran bahawa jika dibenarkan, langkah Perikatan akan menghantar isyarat yang sangat berbahaya serta menjadi contoh yang tidak sihat.
Prof Datuk Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia mempersoalkan motif di sebalik cadangan itu dengan menyifatkan ia akan menjauhkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
“Sambutan Hari Kebangsaan adalah masa di mana kita sepatutnya mengetepikan perbezaan politik dan berkongsi persamaan.
“Memegang tema dan logo berasingan hanya akan memecahbelahkan negara kerana politik.
“Bagaimana kita hendak mendidik anak-anak kita tentang nilai-nilai kemerdekaan sedangkan pada makna simboliknya, kita berpecah-belah?” kata pakar sosiologi politik itu.
Prof Datuk Sivamurugan Pandian.
Sekiranya negeri-negeri pembangkang meneruskan rancangan mereka, Sivamurugan berkata, mereka tidak sepatutnya menyalahkan Kerajaan Persekutuan kerana turut menggunakan alat politik ketika membuat keputusan mengenai hal negeri.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tumpuan kepada sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya tertumpu kepada perpaduan, bukannya parti politik meneruskan politik selepas pilihan raya negeri baru-baru ini.
“Saya tidak nampak logik di sebalik cadangan itu melainkan ia dilakukan untuk tujuan politik. Saya juga berharap sambutan kemerdekaan itu tidak akan dipolitikkan oleh sesetengah pihak .
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.
"Ada masa untuk berpolitik tapi bukan sekarang," katanya.
Mempunyai tema dan logo Hari Kebangsaan yang berasingan, tambah Lam Thye, hanya akan mengakibatkan kekeliruan dalamkalangan rakyat.
Sudah menjadi amalan parti politik, katanya, untuk mengetepikan perbezaan mereka dan bersatu di bawah satu panji-panji untuk memperingati perayaan itu.
“Apa yang kita patut lakukan ialah menumpukan kepada perpaduan dan membangunkan negara bersama.
"Pembangkang harus menggugurkan idea mereka untuk mempunyai tema dan logo yang berasingan," katanya. — TheStar/ MARTIN CARVALHO, RAGANANTHINI VETHASALAM, ZAKIAH KOYA dan IVAN LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram