[VIDEO] Macam drama 'sinetron', pasangan sejoli bergaduh tepi R&R Gombak


  • Tular
  • Isnin, 28 Nov 2022

Tangkap layar pasangan kekasih bertengkar di tepi jalan di R&R Gombak mengundang perhatian pengguna jalan raya pada Ahad.

TINDAKAN seorang wanita memarahi seorang lelaki, dipercayai kekasihnya di tepi jalan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Sebelah Gombak, Arah Timur, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, menuju ke Terengganu menarik perhatian pengguna jalan raya baru-baru ini.

Kejadian tersebut dirakam oleh seorang pemandu lori menggunakan nama @jebatkeluangman yang secara kebetulan berada di belakang kedua-dua individu berkenaan.

Rakaman tersebut kemudiannya dimuat naik semula melalui akaun TikToknya pada Ahad.

"Jangun gaduh depan saya boleh tak?," tulis lelaki itu.

Walaupun dilihat seperti pergaduhan biasa, namun apa yang menarik perhatian ialah wanita berkenaan kelihatan terjerit-jerit memarahi lelaki tersebut yang berada di atas sebuah motosikal.

Tindakan wanita itu memarahi penunggang motosikal berkenaan dilihat seolah-olah lelaki tersebut melakukan kesilapan yang besar.

Setelah puas memarahi lelaki berkenaan, wanita tersebut kemudiannya memakai semula topi keledar, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia membonceng semula motosikal atau beredar pergi kerana rakaman itu tamat.

Video berdurasi 17 saat sudah mendapat lebih daripada 66,000 tontonan setakat ini dan menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pendapat yang berbeza mengenai situasi tersebut.

Seorang pengguna TikTok, Aiman123 berasakan tindakan wanita itu menggelikan hatinya.

"Lawak, dah puas marah. Maki hamun semua boleh pulak dia sambung pakai helmet," tulisnya dengan menunjukkan emoji ketawa.

Sementara itu, samurex021 membuat lawak dengan mengatakan kedua-dua individu terbabit sebenarnya bergaduh disebabkan topi keledar.

"Ooo.. ini pasal salah helmet, atas motor cakap tak dengar. So berhenti tepi nak sembang tapi tak sedar terjerit-jerit pula," katanya.

Seorang lagi pengguna, Syazwan memuji tindakan lelaki tersebut yang masih tenang dan tidak berganjak daripada motosikal miliknya.

"Kalau aku jadi mamat itu, dah lama aku tinggal kena marah macam itu. Tinggi betul kesabaran dia," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram