[VIDEO] Berebut 'awek' punca budak sekolah menengah lunyai kena 'smackdown' di Ulu Tiram


  • Tular
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Tangkap layar seorang pelajar budak sekolah rendah dipukul beramai-ramai di Ulu Tiram baru-baru ini.

KES buli membabitkan pelajar sekolah dilihat semakin menjadi-jadi pada ketika ini. Bahkan apa yang menyedihkan, isu tersebut dilihat sepertinya tidak memberi pengajaran apabila ada sahaja berita-berita membabitkan kejadian buli dalam kalangan pelajar.

Terbaharu, tular satu video membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah membuli seorang budak lelaki di dalam kawasan sebuah taman perumahan pada Isnin.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan oleh warga maya, kejadian itu dipercayai berlaku di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor.

Menerusi video berdurasi kurang seminit itu memaparkan seorang budak lelaki dipukul dan ditarik ke tengah-tengah kawasan lapang sebuah taman permainan sebelum dipukul beramai-ramai oleh rakan sebayanya.

Melihat mangsa yang tidak melawan, ada di antara sekumpulan remaja berkenaan mengambil peluang bergilir-gilir memukul mangsa yang terbaring kesakitan.

Lebih menyakitkan hati, video itu turut dirakam oleh rakan si pembuli dan diperhatikan pelajar lain tanpa rasa belas kasihan.

Turut kedengaran suara perakam ketawa melihat mangsa yang dipukul.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek utama tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai berkawan dengan teman wanitanya.

"Polis mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan polis pada pukul 4.09 petang Isnin oleh mangsa yang mendakwa dia dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di perut, belakang badan, paha dan lengan kiri serta kanan.

"Suspek adalah enam remaja lelaki tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing semuanya berusia antara 14 hingga 17 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku di tempat awam dekat kawasan Taman Bestari Indah, pukul 3 petang 9 Ogos lalu dan pengadu mengalami cedera lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha sebelah kanan dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, antara pukul 5.30 petang hingga 9.34 malam Isnin, polis menyerbu enam lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

"Hasil serbuan berjaya menahan enam suspek lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing.

"Kita turut membuat beberapa rampasan iaitu sehelai jersi warna biru, tiga helai t-shirt lengan panjang warna biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Menurut Raub, tujuh suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan tempoh reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram