Peguam sahkan anak Allahyarham Jamaluddin Jarjis tiada dalam pesawat terhempas di Elmina


  • Massa
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berusaha memadam kebakaran di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis. — Bernama

PEGUAM kepada anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Tetuan Rahman Rohaida mengesahkan anak tokoh politik itu, Ikhwan Hafiz Jamaluddin tidak berada dalam pesawat yang terhempas di Elmina, Sungai Buloh, Selangor pada Khamis.

Terdahulu, ada laporan mendakwa anak lelaki Allahyarham Jamaludin Jarjis berada di dalam pesawat Beechcraft Premier 1.

Bagaimanapun, dakwaan itu ternyata palsu kerana Jamaluddin hanya mempunyai seorang anak lelaki bernama Ikhwan Hafiz dan nama tersebut tidak muncul dalam senarai nama yang terbunuh dalam kemalangan yang mengorbankan lapan penumpang dan termasuk dua orang awam.

Tiga lagi anak Allahyarham ialah Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla.

Firma guaman Rahman Rohaida, yang mewakili Ikhwan Hafiz, mengesahkan dia tidak berada di dalam pesawat itu.

Kekeliruan berkemungkinan itu timbul apabila senarai nama penumpang yang dikongsikan dalam talian termasuk seorang lelaki bernama Kharil Azwan bin Jamaludin.

Terdahulu, Majoriti melaporkan salah seorang penumpang yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di sebuah jalan raya dekat Elmina 8, Shah Alam, pada Khamis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bentong merupakan salah seorang daripada lapan individu termasuk dua kru penerbangan yang berada dalam pesawat ketika kejadian, demikian maklumat awal yang dikongsikan di Facebook.

Berita kematiannya turut dikongsikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Facebook dengan mendoakan roh Allahyarham Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dicucuri rahmat.

BACA LAGI : [VIDEO] Adun Pahang antara 10 mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina

Kapal terbang kendalian Jetvalet Sdn Bhd itu berlepas dari Langkawi dan dalam perjalanan ke Subang sebelum terhempas di Elmina.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, pesawat itu dinaiki enam orang penumpang dan dua kru penerbangan.

"Pesawat itu disahkan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV dari Lapangan Terbang Langkawi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah," katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang panggilan kecemasan yang dibuat oleh pesawat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram