SEBUAH pesawat pejuang MiG-23 dilaporkan terhempas semasa melakukan pertunjukan udara yang berlangsung di Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
Rakaman kejadian itu dikongsikan di laman Twitter baru-baru ini, sebelum ia menjadi tular.
Video tersebut menunjukkan juruterbang berjaya menyelamatkan diri daripada pesawat yang sedang berasap itu dan dia ditemukan di sebuah tasik dalam keadaan selamat.
Pegawai Penguasa Lapangan Terbang Daerah Wayne County (WCAA) dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di lokasi kejadian.
Difahamkan, pesawat berkenaan sedang membuat persembahan udara di Lapangan Terbang Willow Run berhampiran Ypsilanti, Michigan sebelum ia tiba-tiba terhempas di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri yang berdekatan.
Pesawat tersebut dilaporkan terhempas di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri yang berdekatan.
Ekoran insiden tersebut, pertunjukan Thunder Over Michigan dilaporkan terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan orang awam.
"Tuan-tuan dan puan-puan, kami perlu menghentikan persembahan atas situasi yang tidak dapat dielakkan. Sila masuk ke dalam kenderaan anda dan beredar dari lapangan terbang ini dengan tenang," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram