Lima minggu dalam hutan, 4 mangsa termasuk bayi 11 bulan masih hidup selepas pesawat terhempas


  • Benua
  • Ahad, 11 Jun 2023

Empat beradik termasuk bayi berumur 11 bulan ditemukan masih hidup selepas terselamat dalam nahas pesawat terhempas di sebuah hutan di Colombia lima minggu lalu. — Agensi

WALAUPUN insiden pesawat terhempas dalam hutan di Colombia sudah berlaku lima minggu lalu, empat mangsa dari komuniti orang asli di kawasan berkenaan ditemui masih hidup di selatan negara berkenaan.

Presiden Colombia, Gustavo Petro berkata, empat beradik yang terdiri daripada remaja berusia 13, 9 dan 4 tahun itu serta seorang bayi berusia 11 bulan tersebut diselamatkan oleh tentera dekat sempadan antara wilayah Caqueta dan Guaviare di Colombia, berhampiran lokasi kejadian.

"Kegembiraan untuk seluruh negara! Empat kanak-kanak yang hilang di hutan Colombia ditemui hidup," ciapnya dalam Twitter.

Sebelum kejadian, pesawat Cessna 206 membawa tujuh tujuh orang dalam laluan antara Araracuara, di wilayah Amazonas, dan San Jose del Guaviare, sebuah bandar di wilayah Guaviare.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan tiba-tiba mengeluarkan amaran kecemasan akibat kegagalan enjin pada awal pagi 1 Mei sebelum ia terhempas.

Nahas membabitkan tiga orang dewasa termasuk juruterbang dan ibu kanak-kanak berkenaan, Magdalena Mucutuy maut dan mayat mereka ditemui di dalam pesawat.

cessnahilanghidup_1686365630

Nahas tersebut mengorbankan tiga orang dewasa termasuk juruterbang dan ibu kepada empat kanak-kanak berkenaan. — Agensi

Petro pada Jumaat berkongsikan khabar penemuan mangsa-mangsa berkenaan di Twitter, namun memadamkannya selepas mendapat tahu info berkenaan tidak sahih.

Berdasarkan maklumat awal daripada pihak berkuasa penerbangan awam, kanak-kanak berkenaan melarikan diri dari pesawat dan menuju ke hutan untuk mencari bantuan.

Pasukan penyelamat yang disokong oleh anjing pencari sebelum ini menemui buah terbuang yang dipercayai dimakan kanak-kanak untuk terus hidup serta tempat perlindungan yang dibuat dengan tumbuh-tumbuhan hutan.

Sementara itu, datuk kanak-kanak berkenaan, Narcizo Mucutuy memberitahu wartawan, dia gembira dengan berita cucunya terselamat dalam nahas itu.

"Sebagai datuk kepada cucu-cucu saya yang hilang di hutan Yari, ketika ini saya amat gembira," luahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram