PRN: SPRM Selangor terima 3 laporan, kenal pasti wujud atau tidak elemen rasuah


  • 112
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Antara kesalahan yang dikesan itu membabitkan kewujudan kes pengundi hantu dan salah guna kad pengenalan. — Gambar hiasan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menerima tiga laporan salah laku berkaitan pilihan raya di negeri tersebut sepanjang tempoh dua minggu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Alias Salim berkata, ketiga-tiga kes tersebut sudah dirujuk kepada ibu pejabat SPRM.

"Semua aduan berkenaan kita salurkan kepada pihak ibu pejabat untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui Majoriti di ibu pejabat SPRM Selangor, dekat Shah Alam Selangor.

Difahamkan, antara kesalahan yang dikesan itu membabitkan kewujudan kes pengundi hantu iaitu salah guna kad pengenalan.

Pada 13 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 94 laporan polis berhubung kesalahan salah guna kad pengenalan semasa hari mengundi pada Sabtu lalu dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi melibatkan 48 kes.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 11 kes salah laku berkaitan PRN dilaporkan kepada badan tersebut sejak bermulanya tempoh berkempen pada 29 Julai sehingga 8 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram