Rozaimi beri tempoh 14 hari minta Zamsaham mohon maaf terbuka, ganti rugi kewangan


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Rozaimi hanya merekodkan satu penampilan bersama skuad TRW musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman belum boleh tidur lena apabila bekas pemainnya, Rozaimi Rahamat mengesahkan tindakan undang-undang yang dibuatnya sebelum ini sudah berada di tahap seterusnya dengan menghantar notis tuntutan.

Menurut peguam yang mewakili Rozaimi, Saiful Baharim Abd Rahman, tuntutan tersebut mengandungi dua perkara iaitu meminta Zamsaham membuat permohonan maaf secara terbuka dan ganti rugi kewangan.

Tuntutan tersebut dibuat susulan kenyataan bagi membersihkan maruahnya yang tercalar susulan tuduhan fitnah Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham terhadapnya.

Zamsaham diminta untuk memberikan respons dalam tempoh 14 hari sebelum pihak peguam mengambil tindakan undang-undang seterusnya.

"Dalam tuntutan tersebut, kami meminta untuk Zamsaham membuat permohonan maaf secara terbuka dan bertulis. Permohonan bertulis itu hendaklah diterbitkan selama tujuh hari di platform media sosial Zamsaham dan TRW (The Red Warriors). Dua hari pula disiarkan di dua akhbar tempatan.

"Tuntutan kedua pula berbentuk kewangan. Kami tak letak lagi jumlah tersebut kerana belum diputuskan lagi kerana mungkin ada perbincangan dari pihak sana (Zamsaham)," katanya kepada Majoriti pada sidang media di Setiawangsa, ibu negara pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-08-04 at 11.44.13

Rozaimi (tengah) bersama peguamnya ketika sidang media pada Jumaat.

Namun, beliau memberi gambaran nilai tuntutan ganti rugi yang bakal dikenakan adalah kira-kira RM 1 juta, sama seperti harga pasaran Rozaimi ketika menyertai TRW pada awal musim ini.

Jelas Saiful Baharim. tuntutan kewangan tersebut tidak ada kaitan dengan isu tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Socso yang dialami namun menegaskan ia masih berkaitan kes fitnah yang membabitkan Rozaimi.

Wakil Rozaimi itu juga menjelaskan bahawa kenyataan fitnah dari usahawan tersebut juga secara tidak langsung merencatkan karier Rozaimi dalam bidang bola sepak.

"Kenyataan yang dibuat Zamsaham itu menyebabkan kerosakan reputasi ke atas anak guam kami yang mana jendela perpindahan kedua sudah ditutup tapi anak guam kami masih tidak ada kelab yang berani tawarkan kerana isu tersebut.

"Ia gambarkan anak guam kami seperti seorang pemain bola yang ada masa attitude, tidak berdisiplin, tidak setia dengan pasukan, suka menimbulkan masalah dan disifatkan sebagai seorang yang tidak bersyukur," katanya.

Pada Mei lalu, dalam satu majlis bersama penyokong dan Norizam, bekas majikannya itu menjawab soalan daripada penyokong mengenai isu dirinya bersama Norizam berkaitan tunggakan gaji.

Jelasnya, Norizam berkata, beliau menghalau Rozaimi daripada menaiki pesawat ke Sabah kerana mendakwa dirinya mahu memboikot perlawanan itu jika tidak dapat gaji penuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram