MESKIPUN menerima layanan tidak adil dari bekas majikan, ia bukan alasan untuk bekas penjaga gawang Kelantan FC, Rozaimi Rahamat daripada mencintai pasukan Pantai Timur tersebut.
Rozaimi yang berhijrah dari Johor Darul Takzim (JDT) II ke Kelantan FC pada awal musim ini bagaimanapun mengakui bahawa suasana penyokong membuatkan dia ingin kembali ke kelab tersebut.
"Saya akan masuk Kelantan juga kalau The Red Warriors (TRW) bertukar pemilik. Sejujurnya saya datang sebab sukan vibe sini. Penyokong dia sangat baik. Kalau bertukar pemilik, saya akan patah balik," katanya kepada Majoriti selepas sidang media di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kenyataan Rozaimi itu sebagai respons susulan timbul dakwaan sebelum ini mengatakan ada beberapa ahli perniagaan menunjukkan minat untuk membeli skuad TRW daripada Norizam Tukiman.
Rozaimi meninggalkan Kelantan secara persetujuan bersama selepas terpalit dengan isu tunggakan gaji dan kenyataan fitnah yang dilemparkan kepadanya dari pemilik TRW, Norizam.
Norizam berkata, beliau menghalau Rozaimi daripada menaiki pesawat ke Sabah kerana mendakwa dirinya mahu memboikot perlawanan itu jika tidak dapat gaji penuh.
Rentetan daripada isu tersebut, karier Rozaimi secara tak langsung terkesan sehingga ada pasukan dari Liga Super dan Liga M3 yang pada awalnya berminat untuk mendapatkan khidmatnya terpaksa membatalkan niat tersebut.
Rozaimi ketika menandatangani kontrak bersama Kelantan pada awal musim ini. —Facebook/TRW
Selain itu, isu fitnah tersebut juga secara tidak langsung memberi kesan kepada keluarganya berikutan tidak lagi mempunyai gaji tetap untuk menyara mereka dan kini difahamkan Rozaimi hanya bekerja separuh masa.
"Saya adalah buat kerja sedikit untuk tampung keluarga saya. Kalau tak kerja, saya banyak komitmen nak bayar. Adalah kerja part time saya buat. Alhamdulillah, dia masih sokong saya bersyukur dapat isteri yang begitu memahami.
"Saya memang sedih sebab datang Kelantan memang nak main. Jadi kalau perasan sebelum saya mutual agreement, saya memang pemain utama tapi agak kecewa kelab tak teruskan. Masa awal-awal, memang nak berhenti main bola tapi lepas bincang dengan isteri, saya akan teruskan dengan bola sepak," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Rozaimi juga sempat mengulas mengenai sekatan perpindahan pemain yang dikenakan terhadap Kelantan sebelum ini sudah ditarik balik berkuat kuasa pada 27 Julai lalu.
"Zamsaham dah bayar gaji sampai saya habis latihan pada 18 April lalu, cuma Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso tak bayar lagi. KWSP dia bayar bulan April saja, bulan Januari, Februari dan Mac tiada.
"Saya tak tahu nak ulas macam mana sebab saya pun rasa musykil. Sebab saya sendiri KWSP tak settle lagi. Saya tak marah dengan Kelantan tapi penyokong mesti pelik kalau dah ditarik sekatan dah settle. Tapi sebaliknya yang jadi," katanya.
Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan mengesahkan, badan bebas First Instance Body (FIB) sudah menerima segala dokumen yang diperlukan untuk menarik perintah sekatan perpindahan pemain yang dikenakan terhadap Kelantan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram