PESAWAT Malaysia Airlines MH122 yang berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, Australia terpaksa berpatah balik berikutan gangguan daripada penumpang di dalam pesawat.
Malaysia Airlines dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pihak berkuasa tempatan sedang menilai situasi itu.
"Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney. Penerbangan itu membawa 194 penumpang dan lima kru selamat mendarat pada 3.47 petang waktu tempatan.
"Keselamatan dan keselesaan kru dan penumpang kami adalah amat penting bagi Malaysia Airlines,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, portal berita antarabangsa melaporkan penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur dari Sydney terpaksa berpatah balik susulan 'insiden kecemasan' di udara.
MH122 berlepas dari Sydney pada 1.40 tengah hari dan mendarat semula pada pukul 3.47 petang.
Video yang disiarkan menerusi X (Twitter) oleh individu yang didakwa berada dalam penerbangan MH122 itu menunjukkan kru penerbangan cuba menenangkan seorang lelaki yang menjerit kepada penumpang lain.
Sementara itu, Polis Persekutuan Australia berkata, pihaknya menahan penumpang terbabit selepas insiden kecemasan tersebut.
Lelaki berusia 45 tahun itu akan didakwa pada malam Isnin.
"Tiada ancaman yang akan berlaku kepada masyarakat. Lelaki itu dijangka didakwa lewat malam ini (Isnin)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram