SEORANG remaja lelaki cedera parah akibat perutnya tertusuk buluh setelah motosikal yang ditungganginya terlanggar belakang sebuah pacuan empat roda yang berisi muatan itu dalam kejadian di Kilometer 29 Jalan Gua Musang-Jeli, Kelantan pada Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara dalam perjalanan untuk pergi memancing kira-kira pukul 9.30 malam.
"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah terlanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan muatan buluh yang sedang parkir di atas Jambatan Pulau Setelu, Gua Musang.
"Susulan itu, mangsa telah tertikam dengan satu batang buluh yang digunakan untuk memasang bendera parti politik berukuran dua meter dan menembusi perutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Choon Foo memberitahu, mangsa telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya, siasatan mendapati kenderaaan pacuan empat roda itu diparkir di atas jambatan berkenaan kerana pemiliknya sedang melakukan kerja-kerja mencabut bendera parti politik berhampiran lokasi kejadian.
"Pengguna jalan raya diminta supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di atas jalan dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
