SEKUMPULAN pelajar dilaporkan terjatuh ke dalam sungai selepas jambatan yang dilalui mereka runtuh secara tiba-tiba.
Kejadian itu difahamkan berlaku di daerah Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia pada pagi, Sabtu.
Insiden tersebut dirakam oleh penduduk setempat, sebelum ia menjadi tular di media sosial.
Jambatan yang diperbuat daripada buluh tersebut merupakan laluan kecemasan yang menghubungkan Kampung Ketonggo, Daerah Bungkal dengan Kampung Kunti, Daerah Bungkal.
Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku walaupun berpuluh-puluh pelajar dilihat terjatuh ke dasar sungai.
“Kejadian berlaku pagi semalam (Sabtu), tetapi tiada kematian. Memang siswa SMPN 1 Bungkal sedang melintas,” kata Ketua Kampung Kunti, Kartono pada Ahad.
Jelasnya, kejadian bermula apabila guru SMPN 1 Bungkal bertindak mengajak murid-muridnya untuk melakukan aktiviti di luar sekolah.
"Tetapi mereka bukan jalan biasa sahaja, malah terdapat murid yang bermain ketika menyeberangi jambatan itu dan lebih teruk sampai ada yang melompat-lompat,” katanya.
Jambatan yang baru dibina pada Januari lalu itu bagaimanapun disyaki tidak cukup kuat untuk menampung beban para pelajar, apatah lagi dengan perlakuan kanak-kanak tersebut yang dikatakan mengeruhkan lagi keadaan.
Keadaan jambatan yang roboh sewaktu para pelajar sedang melintas untuk ke seberang.
"Selepas itu, jambatan buluh sepanjang 20 meter (m) dan lebar 1.25 m itu patah di bahagian tengah.
"Ini menyebabkan kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai di bawah jambatan. Ketika itu keadaan sungai tersebut kering," ujarnya.
Melihat kejadian itu, penduduk dan guru pengiring segera menghulurkan bantuan kepada pelajar yang sudah jatuh ke bawah.
Berdasarkan maklumat penduduk sekitar, jambatan buluh berkenaan sudah dua kali dibaik pulih. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram