Pesara tentera campak lemang, rakam video punca peniaga naik angin, dedah polis Melaka


  • 112
  • Ahad, 23 Apr 2023

Tangkap layar video tular menunjukkan peniaga tersebut berang dan menyerang mangsa dengan buluh lemang yang sudah dipotong.

TINDAKAN pelanggan mencampak makanan sudah dibeli menjadi punca seorang peniaga lemang di Bukit Beruang, Melaka bertindak agresif sehingga mencederakan individu terbabit dalam insiden pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang juga pesara tentera, 61, pada awalnya datang ke gerai tersebut bagi menukar lemang dibeli kerana mendapati ia tidak dimasak dengan sempurna.

Beliau berkata, perbuatan itu bagaimanapun menimbulkan situasi panas antara mangsa dan peniaga berusia 41 tahun itu sehingga menyebabkan berlaku pertengakaran mulut.

Jelasnya, tindakan mangsa yang kemudiannya mencampak lemang di dalam bekas plastik kepada suspek dan merakam menyebabkan suspek bertambah berang.

lemang

Gambar kecederaan dialami mangsa selepas kejadian tersebut. — Facebook/Shahrina

"Suspek marah kerana pengadu ada campak lemang yang dikatakan tidak masak kepadanya dan juga merekod video menyatakan gerai tersebut menjual lemang yang tidak masak.

"Suspek kemudian memukul pengadu menggunakan buluh lemang yang telah dipotong," katanya dalam satu kenyataan.

Christopher berkata, ekoran insiden tersebut, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital Melaka dan mendapati mengalami kecederaan di bahagian telinga sebelah kiri dan tangan kanan.

Beliau menambah, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 8.25 malam Jumaat dan polis seterusnya menahan suspek pada Sabtu di tepi Jalan Kota, Melaka Tengah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Jelas Christopher, sekiranya disabitkan bersalah, suspek boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut

Pada Jumaat, tular video dikongsikan seorang pengguna Facebook dipercayai anak mangsa yang memaparkan insiden bapanya dipukul dengan batang lemang oleh peniaga sehingga menyebabkan kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram