
SEORANG lelaki ditemukan maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam longkang di Jalan Pajam-Nilai- Salak, berhampiran Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa.
Memetik laporan media tempatan, mayat yang ditemui kira-kira jam 2 petang itu difahamkan berada dalam keadaan kembung dipercayai sudah meninggal dunia dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 2.13 petang berkenaan penemuan satu mayat bersama motosikal di dalam longkang.
"Siasatan awal mendapati mayat adalah lelaki India berumur 27 tahun (ditemui) dalam keadaan tertiarap di dalam longkang bersama sebuah motosikal jenis Yamaha SRE-K. Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Semakan lanjut mendapati terdapat dua laporan polis diterima pada tarikh 13 Ogos lalu membabitkan Orang Hilang (OH) yang dibuat oleh isteri si mati bersangkut repot Mantin/3006/23," katanya.
Lebih memilukan hati, difahamkan isteri kepada mangsa sedang sarat mengandung.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima satu laporan polis oleh pemilik motosikal yang juga majikan kepada lelaki berkenaan bersangkut repot Nilai/8319/23 pada hari sama.
Jelas Abdul Malik, Siasatan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada sebarang penemuan berkaitan unsur jenayah setakat ini.
"Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987," ujarnya.
Tambahnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh salurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904389.
"Atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram