[VIDEO] Mangsa 'melambung' nahas di Jempol rupanya orang asli, tak sempat elak kereta arah bertentangan


  • 112
  • Isnin, 19 Jun 2023

Kemalangan membabitkan mangsa yang menunggang motosikal dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Viva itu tular di sosial media sejak Ahad.

PENUNGGANG motosikal yang terlibat dengan kemalangan ngeri bersama sebuah kereta di Jalan Felda Lui Selatan, Jempol, Negeri Sembilan pada Ahad disahkan maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa maut dalam kejadian pada pukul 5.10 petang itu ialah Den Jahoring, 25, yang merupakan orang asli.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan dari arah rumahnya di Kampung Sungai Sampo di Jempol untuk menghala ke Seremban, Negeri Sembilan.

"Manakala kereta berkenaan pula sedang menghala ke Felda Lui Selatan.

"Sebaik sampai di tempat kejadian, dipercayai mangsa yang memotong kenderaan di hadapannya tidak sempat mengelak kereta yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.

Chang Hook berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang merupakan pekerja di kilang perabot meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lelaki kereta jenis Perodua Viva berusia 38 tahun itu pula luka di bahagian kepala.

"Pemandu sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Jempol dan proses bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dilakukan pada Isnin," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Video kemalangan tersebut sebelum itu tular di sosial media sejak Ahad memaparkan mangsa melambung tinggi ke udara setinggi kira-kira lebih dua meter sebelum jatuh ke atas jalan raya ekoran impak kemalangan berkenaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram