SATU kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan kereta dilaporkan berlaku di persimpangan berdekatan Giat Mara Tambun, di Jalan Tambun, Ulu Kinta, Perak pada Khamis.
Dalam kejadian tersebut, difahamkan penunggang motosikal tersebut maut di tempat kejadian selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki.
Kemalangan tersebut turut tular selepas satu video dikongsikan memaparkan usaha orang awam membantu mengeluarkan pemandu kereta tersebut dari kenderaannya.
Pemandu lelaki berkenaan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan parah.
Keadaan motosikal ditunggangi mangsa yang maut dalam kemalangan berdekatan Giat Mara Tambun, di Jalan Tambun, Ulu Kinta, Perak pada Khamis.
Berdasarkan klip berdurasi tiga minit 51 saat itu, penunggang motosikal terbabit dilihat terperosok di bahagian penumpang depan kereta tersebut.
Ketika video tersebut diambil, mayat mangsa juga didapati masih melekat di bahagian hadapan tempat duduk penumpang kenderaan berkenaan.
Pada masa sama, beberapa gambar dikongsikan orang awam menunjukkan motosikal dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk dan terbiar di tengah-tengah jalan terbabit.
Pegawai kesihatan didapati turut sudah berada di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.
Punca kemalangan tersebut bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram