[VIDEO] Rempuh kedai sampai tembus dinding, pemandu disyaki 'terlebih' tekan pedal di Klang


  • Tular
  • Rabu, 26 Jul 2023

Tangkap layar insiden kemalangan berlaku di sebuah premis pasar raya dekat Taman Sentosa, Klang, Selangor.

PENGUNJUNG pasar raya di Taman Sentosa Klang, Selangor dikejutkan dengan insiden rempuhan sebuah kenderaan yang terbabas ke premis terbabit pada petang Rabu.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat kecuaian si pemandu yang tertekan pedal minyak sebelum hilang kawalan ketika memandu di laluan berkenaan.

Difahamkan, insiden terbabit turut melibatkan seorang penunggang motosikal namun, masih belum dapat dipastikan status kecederaan mangsa.

Rakaman berdurasi 21 saat itu dikongsikan di laman media dan hangat diperkatakan warganet.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian berkenaan dengan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan.

Terdahulu, satu insiden kematian dilaporkan turut berlaku di Taman Sentosa, Klang pada Selasa membabitkan seorang individu yang maut dihempap sebuah kontena terbalik susulan tanah mendap dan jerlus di lokasi kejadian.

Hasil siasatan mendapati, kontena tanpa kepala itu diletakkan di tepi jalan di kawasan terbabit untuk kerja-kerja pemunggahan barang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Hoong Fong berkata, keadaan tanah mendap dan jerlus dipercayai mengakibatkan kontena tersebut tidak stabil dan terbalik.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram