
SEBUAH restoran mamak di Rawang, Selangor dipercayai menyediakan kicap yang sudah basi kepada pelanggannya.
Perkara itu didedahkan sendiri pelanggan di kedai makan terbabit menerusi beberapa video tular sejak Isnin dan turut dikongsikan di akaun Facebook, Balan Pubalan 2.
Berdasarkan klip terbabit, sepasang individu dipercayai suami isteri dilihat sedang mempersoalkan dan memarahi pihak restoran kerana membiarkan kicap yang sudah basi itu diberikan kepada pelanggan.
Mereka turut didapati mengumpulkan semua bekas kicap yang diletakkan di restoran di sebuah meja dan membukanya bagi membuktikan dakwaan mereka.
Dalam pada itu, menerusi salah satu video terbabit, pelanggan lelaki berkenaan yang bercakap dalam bahasa Tamil itu dipercayai turut memberitahu pihak restoran bahawa dia akan membuat laporan polis berkenaan kes tersebut.
Pada masa sama, rata-rata warganet turut kesal dengan sikap pihak restoran yang disifatkan mengambil mudah berkaitan dengan isu keselamatan dan kebersihan makanan.
"Ambil sampel dan pergi buat laporan kepada kementerian berkenaan. Semua restoran kedai makan tak bersih 100 peratus," ujar Zainul Abidin Ibrahim.
"Ambil bukti dan pergi buat laporan polis. Biar pihak berkuasa tutup restoran berkenaan untuk kebaikan dan dakwa pemilik restoran itu," tulis Raj Redhawk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram