Pemandu e-hailing kena kurung tuan rumah bukan mati kelaparan tapi sebab kena serangan jantung


  • 112
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Keadaan mangsa sebelum meninggal dunia (kanan) dan ketika ditemukan di apartmen yang disewanya. — Sin Chew Daily

POLIS mengesahkan kematian seorang pemandu e-hailing yang meninggal dunia di sebuah apartmen di mana mangsa menyewa sejak 18 tahun lalu adalah kerana serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, buat masa ini, polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah terhadap kes tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut

"Hasil daripada laporan bedah siasat turut menyatakan punca kematian akibat daripada serangan jantung," katanya memetik laporan media tempatan, Sin Chew Daily pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih belum berakhir dan menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis.

Mangsa berusia 40-an ditemui mati di kondomonium yang disewanya di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 23 Julai lalu selepas jiran mengadu terdapat bau busuk dari unit berkenaan.

Difahamkan, tuan rumah bertindak mengunci apartmen tersebut selepas mangsa mempunyai tunggakan sewa selama tiga bulan. Mangsa dikatakan gagal membayar sewa bulanannya sebanyak RM1,000 sejak Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, keluarga mangsa dari Johor mendakwa mangsa meninggal dunia disebabkan oleh tindakan tuan rumah yang mengurungnya sehingga mati kelaparan dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuan rumah tersebut.

"Ahli keluarga mangsa mendakwa dia tidak mempunyai duit untuk mengecas telefon bimbitnya selain tidak dapat meminta pertolongan dari luar," lapor Sin Chew Daily lagi.

Sementara itu, tuan rumah mengaku mengunci unit itu pada 2 Julai tetapi mendakwa dia tidak tahu mangsa berada di dalam rumah berkenaan.

Dia juga mendakwa telah cuba menghubungi mangsa lebih 30 kali serta pergi mencari mangsa di unit berkenaan namun tiada jawapan.

"Saya fikir dia telah berpindah secara senyap-senyap, jadi saya mengunci pintu rumah dengan rantai," katanya menurut laporan berkenaan.

Katanya lagi, mangsa telah menjadi penyewa selama 18 tahun dan sentiasa membayar tepat pada masanya sehingga Mac lepas, apabila dia menghubunginya untuk memaklumkan bahawa dia mengalami kemalangan dan akan membayar sewa kemudian.

“Itu kali terakhir kami berhubung dan saya hanya hanya mengetahui mangsa meninggal dunia selepas mendapat panggilan daripada polis,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram