[VIDEO] Malang berganda, tentera dirempuh kereta selepas tercampak dari jambatan bertingkat di Bayan Baru


  • Tular
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Mangsa yang terbaring dan tidak sedarkan diri dibantu oleh pengguna jalan raya lain yang turut berada di sekitar lokasi kejadian.

SEORANG penunggang motosikal tercampak dari atas jambatan bertingkat di Bayan Baru menuju ke Batu Uban, Pulau Pinang sebelum dilanggar sebuah kenderaan pada Sabtu.

Difahamkan, mangsa yang dipercayai seorang anggota tentera, Muhammad Hafiz Borhan disahkan meninggal dunia pada petang hari kejadian ketika dirawat di zon merah di Hospital Pulau Pinang.

Beberapa netizen yang difahamkan ahli keluarga mangsa memaklumkan di Facebook bahawa jenazah mangsa dikebumikan di Yan, Kedah.

Berdasarkan perkongsian beberapa gambar dan video kemalangan di laman sosial, mangsa yang sebelum ini terbaring dan tidak sedarkan diri dibantu oleh pengguna jalan raya lain yang turut berada di sekitar lokasi kejadian.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dibantu oleh pengguna jalan raya lain yang turut berada di sekitar lokasi kejadian. — Facebook/ Penang Press

Dalam pada itu, turut kedengaran individu yang merakam berteriak dari jambatan tersebut dan menghalang orang awam daripada menyentuh penunggang motosikal berkenaan agar tidak mendatangkan kecederaan yang lebih serius kepadanya.

Namun setakat berita ini ditulis, masih belum ada kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram