[VIDEO] Siapa yang tak marah? Isteri orang kena 'skodeng' dalam tandas stesen minyak di Johor


  • Tular
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Tangkap layar kejadian seorang wanita dirakam dan diintai seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berada dalam tandas awam di sebuah stesen minyak di Jalan Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

SEORANG wanita berdepan dengan detik cemas selepas dirakam dan diintai oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika hendak menggunakan tandas awam di sebuah stesen minyak pada Sabtu.

Dia turut berkongsi kisah tersebut melalui akaun TikTok @zaujatiaiman peribadi miliknya.

Menurut wanita berkenaan, kejadian tersebut berlaku di salah sebuah stesen minyak Jalan Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru, Johor pada pukul 8.40 pagi Sabtu.

Katanya, pada waktu kejadian dia bersama suami singgah sebentar di stesen minyak tersebut untuk pergi ke tandas.

"Saya meletakkan kenderaan di kawasan pam tayar dan meminta suami saya untuk mengisi angin kenderaan sebelum saya berjalan ke tandas stesen minyak. Ketika kejadian, saya tidak menyedari yang saya diekori oleh seorang lelaki dari belakang.

"Semasa hampir selesai membuang air kecil, saya terdengar bunyi seperti ada benda yang terhempas dan kerana terkejut saya terus bangun serta memakai semula seluar.

"Apabila memandang ke bahagian atas, saya terkejut melihat ada tangan beserta telefon bimbit sedang merakam sebelum (saya) menjerit meminta tolong dan terus keluar dari toilet berkenaan," tulisnya.

Tambahnya lagi, apabila menyedari suspek yang mengintai dan merakamnya itu adalah seorang lelaki, dia terus mengejar lelaki berkenaan.

"Suami dan orang awam yang mendengar jeritan saya turut mengejar lelaki berkenaan sebelum dia berjaya ditahan.

"Kerana panik, lelaki tersebut segera mengeluarkan telefon bimbit dan memadam rakaman yang diambil di dalam tandas dan menyuruhnya membuka ruangan simpan 'trash' dan di situlah saya mendapati ada video rakaman saya.

"Satu report polis telah dibuat dan lelaki berkenaan juga telah pun ditahan untuk siasatan," katanya.

Wanita berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu dan menasihatkan agar para wanita di luar sana untuk berhati-hati.

"Pesanan saya buat semua wanita di luar sana, pastikan tandas awam tu betul-betul selamat baru gunakan dan adalah lebih baik jika kita mengunci pintu utama atau jangan berseorangan demi keselamatan diri," katanya lagi.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram