[VIDEO] Polis buru lelaki intai wanita dari ruang atas tandas stesen minyak di Tapah


  • 112
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan mangsa (di dalam bulatan merah) memasuki tandas sebelum diekori lelaki berkenaan.

POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang didakwa mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak di Tapah pada Sabtu, seperti yang tular menerusi laman sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 33 tahun yang menyedari diintai oleh seseorang melalui ruang atas tandas dalam kejadian pada pukul 4.50 petang.

"Rakaman kamera litar tertutup mendapati lelaki yang belum dikenal pasti bangsanya dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke dalam tandas wanita dan kemudian beredar menaiki kereta Toyota Avanza berwarna perak.

"Hasil semakan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Pusing, Perak," katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusri berkata, usaha mengesan suspek dibuat berdasarkan kepada nombor kenderaan yang digunakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang) yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Video berdurasi 41 saat mengenai insiden itu tular sejak Sabtu selepas dikongsi oleh seorang pengguna Facebook dalam kumpulan Tapah Club yang memaparkan tindakan seorang lelaki berbaju putih mengekori seorang wanita yang memasuki tanda di stesen minyak terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram