POLIS menahan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai sebuah rumah didiami pelajar wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa membuat laporan selepas mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya.
"Lelaki tersebut membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu.
Perbuatan lelaki tersebut dirakam oleh jiran pengadu dan lelaki tersebut melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pemeriksaan di balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya tiada dan ketika kejadian, tiada sesiapa berada dalam tandas.
"Lelaki Palestin itu ditahan pada kira-kira pukul 4 petang Selasa di Mutiara Ville dan polis merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan namun seluar milik rakan serumah pengadu belum dijumpai. Siasatan masih diteruskan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram