'Skodeng apa tu bang?' — Motif suspek intai kereta orang timbul tanda tanya


  • Tular
  • Selasa, 14 Jun 2022

Tangkap layar gelagat suspek yang mengintai beberapa kenderaan di sebuah kawasan parkir di Klang mengundang resah netizen.

KEHADIRAN seorang lelaki yang menunggang motosikal berwarna kuning dipercayai jenis Yamaha Lagenda kelihatan mencurigakan apabila gerak-gerinya mengintai cermin kereta di sebuah kawasan parkir.

Difahamkan, insiden itu berlaku di Klang, Selangor.

Berdasarkan video yang tular di media sosial sejak Isnin, pada awalnya, lelaki berkenaan dilihat cuba mengintai tingkat kenderaan mewah berwarna coklat sebelum beralih kepada dua lagi kereta berhampiran.

Suspek juga dipercayai tidak menyedari perbuatannya dirakam dan tindakan lelaki itu jelas mengundang pertikaian warganet.

Rakaman video seorang penunggang motosikal yang mencurigakan.

Rata-rata pengguna alam maya membuat andaian bahawa lelaki tersebut sedang mencuba untuk mendapatkan barangan berharga sebelum memecahkan cermin kenderaan mangsa.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan cermin kereta yang gelap, ia dilihat menyukarkan usaha suspek apabila perlu melihat keadaan dalam kenderaan secara dekat di samping mengambil masa lama.

Disebabkan itu, ada sebahagian warganet yang mendakwa penggunaan cermin gelap secara tidak langsung bagus keselamatan dan mengelakkan daripada menjadi mangsa penjenayah.

Dalam video itu juga menunjukkan lelaki terbabit menunggang motosikal tanpa sebarang nombor pendaftaran kenderaan.

Meskipun tidak sebarang perkara buruk berlaku namun, sebaiknya pemilik kereta mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak meninggalkan sebarang barangan berharga di tempat yang mudah diambil kesempatan oleh penjenayah.

Sementara itu, pihak Majoriti masih menanti kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram