[VIDEO] 'Macam pin boling', melambung kena 'sapu' ombak besar tiba-tiba


  • Benua
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar kejadian pengguna jalan raya yang dihanyutkan ombak besar yang melanda kawasan Jambatan Sinamale dekat Male, Maldives baru-baru ini.

PENDUDUK sekitar Male, Maldives digemparkan dengan kejadian ombak besar dipercayai mencecah 0.94 meter yang melanda kawasan Jambatan Sinamale baru-baru ini.

Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sejumlah kenderaan dan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dilihat dihanyutkan oleh ombak yang sangat kuat.

Lebih memburukkan keadaan, gelombang ombak pada hari kejadian telah mengakibatkan banjir yang bukan sahaja berlaku di kawasan Jambatan Sinamale tetapi juga menjejaskan sekitar Jalan Majeedhee.

Difahamkan, kawasan tertentu di Male, terutamanya Henveiru dan beberapa lokasi di Jalan Majeedhee terdedah kepada fenomena banjir semasa tempoh monsun barat daya.

Akibat kejadian tersebut, polis menasihatkan orang ramai agar menggunakan laluan alternatif lain dan mengelak daripada menggunakan jalan berkenaan dalam masa terdekat.

Rakyat Maldives dikatakan lebih memilih untuk menunggang motosikal sebagai kenderaan utama mereka.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk Male dan Hulhumale untuk menaiki kenderaan beroda empat apabila melintasi jambatan tersebut, ini kerana rakyat di negara berkenaan dikatakan lebih memilih untuk menunggang motosikal sebagai kenderaan utama mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram