[VIDEO] Satu muka melecur, pelajar malang jadi mangsa simbahan asid ketika tunggang motosikal


  • Benua
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Insiden tersebut turut dirakam oleh CCTV yang berada berdekatan lokasi kejadian.

SEORANG pelajar sekolah menengah vokasional di Matraman dekat Jakarta Timur, Indonesia menjadi mangsa simbahan asid ketika sedang menunggang motosikal di atas jalan raya.

Kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba ketika mangsa, Muhammad Abidzar, 16, dalam perjalanan pulang dari sekolahnya bersama rakannya pada Selasa sekitar pukul 3.30 petang waktu tempatan.

Seorang saksi, Muhammad Fatah, 19, berkata, pelaku dalam insiden itu dipercayai membabitkan pelajar dari sekolah lain yang membawa cecair asid itu dengan menggunakan sebuah botol plastik.

Katanya, punca kepada kejadian itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan dengan pelaku yang memakai pakaian sekolah ketika kejadian turut gagal dikenal pasti manakala mangsa turut memaklumkan tidak mengenali individu terbabit.

Snapinsta.app_366438163_303841965511609_6632295905173873388_n_1080

Keadaan muka pelajar terbabit akibat selepas terkena cecair asid dalam insiden tersebut. — Agensi

Bagaimanapun, terdapat laporan mengatakan insiden berkenaan adalah cubaan daripada sekelompok pelajar di sekolah sekitar kawasan tersebut untuk menimbulkan rusuhan.

Fatah berkata, akibat insiden itu, kulit muka, leher, hingga kawasan sekitar dada dan bahu pelajar kelas terbabit turut melepuh akibat terkena cecair tersebut.

Penduduk berdekatan lokasi turut segera memberikan pertolongan cemas kepada mangsa dengan menyiram di bahagian kulit mangsa yang tercedera dengan air dan membawanya ke klinik berhampiran.

"Mulanya mangsa dibawa ke Klinik Melati dekat sini. Tapi disebabkan kecederaannya teruk, dia dibawa ke Hospital Daerah Matraman," ujarnya.

Menurut Fatah, pelaku terus melarikan diri daripada lokasi kejadian dan usaha orang ramai mengejarnya juga gagal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram