Taktik terbaharu scammer, acah-acah culik budak minta 'parents' wang tebusan 


  • Tular
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Nor menunjukkan nombor telefon scammer yang menghubungi suaminya dan mendakwa anak mereka telah diculik pada Jumaat.

HAMPIR setiap hari, pasti akan ada laporan mengenai orang ramai yang menjadi mangsa penipuan scammer.

Golongan tersebut dilihat semakin bijak memanipulasi keadaan untuk menjerat mangsa.

Terkini, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nor mengakui hampir terpedaya dengan muslihat terbaharu scammer yang mendakwa bahawa anaknya telah diculik.

Penipu berkenaan bertindak mengugut suaminya agar menuruti segala permintaan mereka sekiranya mahu menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Malah, dia mengugut akan memotong jari budak itu jika mereka enggan melaksanakan arahan yang diberi.

Bagaimanapun, belum sempat bertanya lanjut, panggilan telefon yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp itu tiba-tiba sahaja terputus, dan cubaan suaminya untuk menghubungi semula scammer berkenaan gagal.

"Semalam (Jumaat) dalam pukul 3 petang, scammer tersebut hubungi suami saya dan maklumkan anak kami diculik. Nama saya pun dia sebut, lagi mendebarkan apabila suami terdengar suara kanak-kanak menangis.

"Bila tanya anak yang mana, dia tak jawab. Dia suruh kita ikut cakap dia, kalau tak jari anak akan dipotong.

"Memang mendebarkan, walaupun dalam fikiran tak logik sebab anak perempuan saya di asrama di Teluk Intan, Perak, manakala anak lelaki ketika itu berada di rumah neneknya.

"Tapi kebetulan semalam sekolah anak perempuan saya ada aktiviti merentas desa, apatah lagi dia terpaksa melalui kawasan kelapa sawit. Jadi, saya takut kalau ada yang terlepas pandang," katanya kepada Majoriti.

Scammer dilihat semakin bijak memanipulasi keadaan untuk menjerat mangsa. — Gambar hiasan

Namun begitu, Nor bertindak pantas dengan menghubungi pihak sekolah untuk bertanyakan tentang keberadaan anaknya.

Dia bersyukur apabila dimaklumkan kanak-kanak itu selamat dan difahamkan anaknya masih berada dalam kawasan sekolah.

"Alhamdulillah saya dapat hubungi salah seorang warden dan dia bertindak segera mencari anak di dorm, lega apabila dengar suara anak," ujarnya.

Nor memberitahu, setelah membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor pada hari kejadian, dia dimaklumkan ternyata nombor telefon berkenaan memang sedang dalam pemantauan pihak polis atas laporan berkaitan scammer penculikan, dengan lebih 100 aduan sudah dibuat oleh orang ramai setakat ini.

"Rupanya scammer penculikan ini taktik terbaharu yang sedang berleluasa sekarang. Saya pula, bila sebut anak diculik memang berderau darah," luahnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram