[VIDEO] Suami disangka kena culik di Pulau Pinang rupanya ada masalah hutang


  • 112
  • Khamis, 29 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita menghalang sebuah MPV di sebuah jalan raya dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang baru-baru ini.

RAKAMAN video tular yang memaparkan seorang wanita menghalang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di sebuah jalan raya dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang baru-baru ini bukanlah cubaan menculik suaminya seperti yang tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam menjelaskan bahawa ia bukan cubaan menculik tetapi lebih kepada isu peribadi.

“Sekumpulan lelaki pergi berjumpa dengan suami wanita berkenaan yang berhutang kepada mereka dan membawanya ke dalam MPV mereka untuk berbincang.

“Difahamkan wanita itu menyangka suaminya diculik selepas sekumpulan lelaki tersebut membawa suaminya masuk ke dalam kereta MPV tersebut.

“Jadi, berlaku kekecohan untuk memberhentikan kereta sebelum mereka dilihat keluar daripada kenderaan tersebut," katanya kepada The Star.

Tambah Ng lagi, susulan daripada kejadian itu, wanita berkenaan membuat laporan polis pada Isnin sebelum dia menarik semula laporan itu keesokan harinya.

“Suami wanita berkenaan berhutang wang kepada sekumpulan lelaki itu dan perkara tersebut juga sudah pun diselesaikan.

"Pegawai penyiasat mengambil keterangan mereka untuk memastikan perkara sebenar,” katanya.

Dalam rakaman video berdurasi 29 saat kejadian yang dikatakan berlaku pada Isnin dan video tersebut tular sejak Rabu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram