TULAR beberapa kejadian pukul dipercayai membabitkan sekumpulan pekerja warga asing di Pasir Gudang Johor.
Insiden tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di group Facebook, Polis Diraja Malaysia Group (PDRM Group) pada Khamis.
Berdasarkan salah satu klip di muat naik itu, dua orang warga asing dilihat ditampar dan dipukul dengan menggunakan kayu cota oleh dua individu lain yang dipaparkan turut memakai uniform pengawal keselamatan.
Kedua-dua individu yang ketika itu dipercayai berada di dalam sebuah bilik juga didapati tidak melawan dan hanya merayu supaya tidak dipukul.
Sebuah lagi video lain turut dikongsikan pada hantaran sama memaparkan kecederaan dialami kira-kira enam orang warga asing.
Tangkap layar video terbabit memaparkan kecederaan dialami beberapa orang pekerja warga asing dipercayai akibat dipukul.
Selain lebam, bahagian belakang badan kesemua individu terbabit juga dilihat berbirat dipercayai akibat dipukul oleh pihak yang sama.
Sementara itu, pengguna akaun Facebook yang memuat naik video terbabit, Zul Haikal mendakwa kejadian itu membabitkan pekerja warga asing daripada Pakistan.
"Bos dia orang Pakistan, pekerja pun orang Pakistan. Dia minta gaji bos pukul," tulis Zul Haikal di ruangan komen hantaran terbabit.
Tarikh kejadian tersebut bagaimanapun tidak dinyatakan pada hantaran berkenaan.
Dalam pada itu, rata-rata warganet berasa kesal dengan kekerasan yang dilakukan terhadap kumpulan pekerja tersebut.
Mereka turut berharap agar pihak polis segera menyiasat kes tersebut dan menangkap pihak yang terlibat.
"Kalau dah viral macam ni elok buat laporan polis sehingga tertangkapnya pelaku ini," tulis Zul Sym Bikers.
"Inilah warganegara asing dibagi tugas sebagai pengawal keselamatan. Kerana gaji murah, boleh ke dia pukul orang dengan kayu cota? Kita Malaysia ada undang-undang. Ini memalukan Malaysia. Saya harapkan PDRM siasat video dan tindakan perlu diambil segera," ujar Yazid Md Kaus.
"Dibulilah rasanya ini. Mereka peras ugut agar ikut arahan mereka. Mungkin pekerja ini ini tidak puas hati dengan layanan dijanjikan seperti gaji. Apapun bagus disiasat. Walau bukan warga tempatan,mereka tetap ada nyawa," kata Manggis Hitam.
Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berkenaan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram