[VIDEO] Mayat lelaki berlumuran darah ditemukan dalam teksi di Kuala Terengganu


  • Tular
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Mayat tersebut ditemui di dalam sebuah teksi dekat Jalan Teluk Ketapang berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Terengganu. — Facebook

MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam pada Khamis.

Mayat tersebut dijumpai di dalam sebuah teksi dekat Jalan Teluk Ketapang berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu pada malam Khamis.

Difahamkan teksi tersebut dikejar orang awam selepas kenderaan tersebut dipandu secara melawan arus selepas bergesel dengan sebuah Perodua Myvi di lokasi kejadian.

Tindakan mencurigakan pemandu teksi berkenaan menyebabkan pengguna jalan raya yang lain bertindak mengejar teksi tersebut dan menghentikannya sebelum mendapati terdapat mayat di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Difahamkan turut ditemukan adalah senjata berupa pisau di bahagian kaki tempat pemandu teksi berkenaan.

Turut tular beberapa video memaparkan orang awam mengerumuni teksi berkenaan dengan suspek duduk mencangkung di tepi jalan manakala Unit Forensik Polis turut berada di lokasi bagi membuat pemeriksaan serta siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 10.56 malam Khamis memaklumkan terdapat teksi berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang sudah meninggal dunia.

"Polis turut merampas pisau yang ditemui di pelapik kaki pemandu untuk siasatan lanjut," katanya seperti dilaporkan Harian Metro ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 51 tahun adalah pemandu teksi berkenaan manakala suspek berusia 29 tahun adalah penumpang.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Jelas beliau, suspek pula akan dibawa ke mahkamah pada Jumaat bagi mendapatkan permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram