[VIDEO] 'Payudara isteri penuh jangkitan bakteria'


  • Massa
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Tan Wei Shan dilaporkan meninggal dunia pada 2 Ogos selepas menjalani prosedur pembesaran payudara di sebuah rumah dua tingkat di Taman Mutiara Rini, Skudai, pada 29 Julai.

SUAMI suri rumah berusia 29 tahun yang meninggal dunia selepas prosedur pembesaran payudara di Skudai, Johor pada penghujung Julai lalu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Kesihatan Johor.

Ahli perniagaan berusia 35 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, dia akan bertemu jabatan itu pada 13 Ogos.

Langkah itu dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, katanya.

BACA LAGI: https://majoriti.com.my/berita/2023/08/08/video-asalnya-nak-tegangkan-kulit-ibu-muda-maut-4-hari-lepas-suntik-besarkan-payudara-di-skudai

“Dia melawat rumah saya pada hari Selasa dan membuat cadangan supaya jabatan kesihatan dapat meneliti perkara itu.

"Selepas kematian isteri saya, saya membuat laporan polis terhadap pakar kecantikan tidak bertauliah yang menjalankan prosedur itu," katanya.

payudara2

Ahli keluarga mangsa bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pakar kecantikan terbabit.

Isterinya, Tan Wei Shan dilaporkan meninggal dunia pada 2 Ogos selepas menjalani prosedur pembesaran payudara di sebuah rumah dua tingkat di Taman Mutiara Rini, Skudai, pada 29 Julai.

Wong berkata, isterinya mula berasa pening dan tidak sihat selepas prosedur itu.

Wei Shan juga mengadu sakit dan bengkak di dadanya, jadi pada petang berikutnya, dia mendapatkan bantuan di klinik dan dikejarkan ke hospital swasta kira-kira pukul 7 malam.

Pada mulanya, Wei Shan ingin melakukan perubahan wajah dan mengenali pakar kecantikan itu melalui seorang rakan, kata Wong, sambil menambah pakar kecantikan itu kemudiannya meyakinkannya untuk melakukan prosedur pembesaran payudara juga.

Bagaimanapun, pakar kecantikan itu tidak memberitahu Wei Shan bahawa dia tidak berlesen.

Wong berkata, selepas kematian isterinya, keputusan bedah siasat pertama hospital menunjukkan bahagian payudaranya mempunyai jangkitan bakteria.

"Saya diberitahu bahawa laporan yang lebih mendalam hanya akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan lagi selepas sampel darahnya dihantar untuk ujian makmal," kata Wong, sambil menambah bahawa dia merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pakar kecantikan itu.

payudara

Wei Shan yang sudah dibakar pada 6 Ogos meninggalkan dua anak lelaki, berusia sembilan dan 12 tahun.

"Kami sepatutnya meraikan hari lahir anak sulung kami pada 15 Ogos. Sungguh menyayat hati melihat anak-anak kami menangis di tepi altarnya," kata Wong.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa peraturan dan penguatkuasaan lebih ketat terhadap industri kecantikan dan estetika susulan insiden terbaharu itu.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, ini bukan kali pertama kematian seperti itu dilaporkan.

Katanya, pada 2020, Coco Siew, 23, meninggal dunia selepas sedutan lemak dilakukan secara haram di sebuah salon kecantikan di Cheras, Kuala Lumpur.

“Beberapa kejadian lain yang melibatkan pusat kecantikan dan estetika tidak berlesen atau tidak berdaftar dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ini hanya bermakna terdapat kekurangan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa,” katanya. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram