SEORANG wanita berusia 29 tahun meninggal dunia selepas empat hari menjalani pembedahan membesarkan payu dara yang didakwa dilakukan oleh pakar kecantikan tidak bertauliah di sebuah rumah di Skudai, Johor baru-baru ini.
Difahamkan, ibu kepada dua orang anak itu meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi pada 2 Ogos lalu.
Suami mangsa dikenali sebagai Huang, 32, berkata, isterinya dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada pembedahan pembesaran payu dara asid hyaluronik.
Dakwanya, pada mulanya mangsa merancang menjalani pembedahan 'menarik benang' muka mikro untuk menjadikan kulitnya tegang, namun 'pakar kecantikan' itu memujuk isterinya untuk menjalani pembedahan membesarkan payu dara.
Katanya, selepas melakukan pembedahan itu, isterinya mengalami sakit dada, dan kakitangan pusat kecantikan itu dilaporkan enggan menerima bayaran ketika wanita berkenaan mahu membuat bayaran.
"Keesokannya (30 Julai), isteri saya masih tidak sihat. Ditemani seorang rakan, dia (isteri) pergi ke klinik berhampiran untuk konsultasi pada waktu tengah hari.
"Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan. Sekitar pukul 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa.
"Isteri segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Isteri dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas melaporkan bahawa dia tidak boleh berjalan dan meninggal dunia pada 7 pagi (hari sama)," katanya.
Upacara pengebumian dan pembakaran mayat dilakukan di Wisma Tiong Hua, Johor pada Isnin.
Mangsa meninggalkan dua anak lelaki berusia sembilan dan 12 tahun.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. — The Star/YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram