SATU kepala babi ditemui dibuang di hadapan pejabat calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Perikatan Nasional (PN) Datuk Eddin Syazlee Shith, dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pagi Rabu.
Ketika ditemu bual, abang kepada Eddin, Edden Amru Shith berkata, kepala babi itu ditemui kira-kira pada pukul 7.30 pagi.
“Kepala babi itu diletakkan di atas bendera Perikatan (PN).
"Petugas kami menjumpai kepala babi itu ketika mereka melaporkan diri ke tempat kerja. Ia mungkin berlaku (diletakkan) pada waktu pagi kerana petugas terakhir yang meninggalkan pejabat sebelum itu adalah kira-kira pukul 4.30 pagi yang sama.
"Perbuatan ini adalah sangat mengecewakan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak menekankan mengenai amalan politik sihat. Apa yang berlaku adalah sesuatu yang sangat tidak profesional,” katanya kepada The Star.
Edden Amru menambah, bendera dan kain rentang PN di kawasan itu turut dirosakkan beberapa hari sebelum itu.
"Kami tidak tahu siapa yang melakukan ini atau apa agenda mereka. Ia sangat mengecewakan," katanya sambil memberitahu bahawa laporan polis sudah dibuat.
"Kita harus berkempen secara positif dan profesional. Kita adalah sebuah negara yang matang dari segi politik," tambahnya.
Ketika dihubungi, pegawai Eddin Syazlee berkata, mereka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Eddin Syazlee akan menentang calon Barisan Nasioanal (BN), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dalam saingan dua penjuru bagi merebut kerusi DUN Juasseh.
Hari mengundi bagi kesemua negeri terlibat dalam pilihan raya kali ini iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan dan Terengganu jatuh pada 12 Ogos ini. — The Star/GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram