Survei PRN: Rakyat 3 negeri ditadbir PAS mahu kerajaan kukuhkan ekonomi global


  • Politik
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Jika melihat jumlah undian, boleh dilihat rakyat di tiga negeri di bawah pentadbiran PAS mengharapkan kerajaan mengukuhkan ekonomi global. — Twitter

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini semakin terasa, apabila parti-parti bertanding dilihat berhempas-pulas mengemukakan tawaran terbaik untuk menerajui keenam-enam negeri terlibat.

Di sebalik manifesto yang diumumkan, mungkin ada parti yang masih lagi tertanya-tanya tentang kehendak dan isi hati sebenar majoriti rakyat, untuk melihat perubahan yang perlu dilakukan kerajaan negeri pada masa akan datang.

Berdasarkan undian di laman Twitter @pendapatmy, rata-rata rakyat di enam negeri yang terlibat PRN mahukan kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi global.

Rakyat Terengganu menyaksikan undian yang tertinggi iaitu 80.5 peratus diikuti dengan Kelantan sebanyak 78 peratus.

Sementara itu, rakyat negeri Kedah turut mahukan kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi global dengan undian 70 peratus diikuti Negeri Sembilan (69.9 peratus) dan Pulau Pinang (58 peratus) serta Selangor (56.6 peratus).

Dapatan survei itu hasil daripada jawapan yang diundi secara polling di Twitter dengan soalan yang dikemukakan - "Apakah harapan anda sebagai rakyat di negeri terlibat PRN?"

Survei online itu mengemukakan empat pilihan jawapan iaitu kukuhkan ekonomi global, kukuhkan perpaduan sesama kaum, martabat hak bumiputera dan mantapkan perpaduan ummah.

Berdasarkan jawapan yang diberikan, ramai memilih harapan untuk melihat ekonomi global dapat diperkukuhkan.

Mereka juga berharap agar perpaduan sesama kaum dapat dikukuhkan selain daripada memartabatkan hak bumiputera dan memantapkan perpaduan ummah.

Menariknya, jika melihat jumlah undian tersebut, boleh dilihat rakyat di tiga negeri di bawah pentadbiran parti PAS mengharapkan mahukan kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi global.

Untuk rekod, selain Kelantan, PAS juga menguasai Terengganu dan Kedah dengan keseluruhan kerusi DUN disandang parti itu di tiga negeri dengan populasi majoriti penduduk Melayu berjumlah 74 daripada 91 kerusi yang ditandingi lima tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram