[VIDEO] Kilang bijirin meletus, 12 cedera dalam letupan di Turkiye


  • Benua
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Satu insiden letupan berlaku di sebuah kilang bijirin dekat pelabuhan Derince, barat Turkiye. — Agensi

SERAMAI 12 orang dilaporkan cedera dalam satu letupan yang berlaku di sebuah kilang bijirin berhampiran pelabuhan Derince di barat Turkiye pada Isnin.

Menurut agensi Anadolu yang dikendalikan kerajaan Turkiye, tiga daripada 12 mangsa mengalami kecederaan serius.

Kejadian tersebut difahamkan berlaku kira-kira pukul 2.40 petang berhampiran kilang Turkish Grain Board (TMO), kata Seddar Yavuz yang merupakan gabenor di pelabuhan terbabit.

"Siasatan awal mendapati bahawa letupan berlaku disebabkan oleh pemampatan habuk gandum semasa proses pemindahan dari kapal ke kilang dijalankan.

"Secara teknikalnya, mungkin letupan boleh berlaku disebabkan oleh pemampatan habuk gandum, tetapi kami sedang menyiasat setiap kemungkinan yang boleh terjadi," kata Yavuz.

Tambahnya, pasukan kesihatan sedang melakukan kerja-kerja pencarian dan menyelamat selain pihak bomba juga diarahkan untuk ke wilayah tersebut berikutan kejadian berkenaan.

"Kami segera menyelamatkan rakan kami dari tempat kejadian dan menghantar mereka ke pusat kesihatan dengan kenderaan ambulans secepat mungkin," jelas gabenor itu.

Polis berkata, mereka telah melancarkan siasatan berhubung kejadian tersebut dengan rakaman kejadian turut mendapat liputan meluas di laman media.

TMO berkata, sebanyak 13 buah kilang dan bangunan luar mengalami kerosakan dalam kejadian terbabit.

"Ia dianggap sebagai satu letupan dan punca sebenar kejadian akan dijelaskan selepas siasatan teknikal terperinci dijalankan," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan mengesahkan tiada kapal yang rosak akibat letupan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram