[VIDEO] Ibu, teman lelaki sakit urat tak ngaku aniaya anak umur 4 tahun di Ipoh


A. Kanageswary (Kiri) dan S. Uthayakumar didakwa melakukan penganiayaan itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa lelaki berusia empat tahun. — Bernama

SEORANG ibu dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak atas pertuduhan menganiaya anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun di sebuah pangsapuri minggu lepas.

A. Kanageswary (ibu), 23, dan S. Uthayakumar (teman lelaki), 26, didakwa melakukan penganiayaan itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa lelaki berusia empat tahun, enam bulan di sebuah pangsapuri di Taman Menglembu Impiana Adril kira-kira 4.30 petang, pada 2 Ogos.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta 611 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM15,000 setiap seorang, namun peguam Kelvin Francis memohon jaminan RM3,000 atas alasan kedua-dua anak guamnya menghadapi masalah kewangan dan mahu memulakan kehidupan baharu setelah bercerai dengan pasangan lama.

Kelvin berkata, Uthayakumar juga mengalami masalah sakit urat, selain mempunyai tiga anak dan dalam proses penceraian sementara penjamin iaitu ibunya hanya mempunyai RM3,000.

BACA LAGI : [VIDEO] Rayuan sayu rungkai kisah budak lelaki didera ibu, penjaga positif dadah di Ipoh

Bagaimanapun, Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Okt untuk sebutan kes.

Pada 3 Ogos, media melaporkan rayuan sayu seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebalik jeriji berkunci rumahnya untuk meminta makanan daripada orang ramai, membongkar kisahnya menjadi mangsa dera ibu dan teman lelaki wanita itu.

Kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian dan dipenuhi kesan luka seluruh badan itu kemudiannya diselamatkan polis, selepas menerima laporan daripada orang awam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram