[VIDEO] Ibu guna bola merah 'pujuk' mayat anak lemas timbul segera di permukaan sungai


  • Benua
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Mayat mangsa ditemui pasukan SAR dalam jarak 500 meter daripada lokasi tempatnya tergelincir. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki lemas selepas tergelincir ketika hendak membuang air besar di sebuah sungai dekat Kali Ciliwung, Kramati, Jakarta Timur, Indonesia pada baru-baru ini.

Lebih memilukan lagi, mayat Muhammad Rizki Putra ditemukan sehari selepas dilaporkan hilang oleh ibunya.

Menurut Ketua Pasukan Operasi dan Penyelamat (SAR), Ahmad Nur Iman berkata, mayat mangsa ditemui dalam jarak 500 meter daripada lokasi kejadian.

"Mangsa terjatuh dalam sungai tersebut pada pukul 4 petang Selasa dan mayatnya ditemui pada pukul 11 pagi keesokan harinya," katanya memetik laporan media antarabangsa.

Sementara itu, operasi SAR tersebut turut tular di laman media sosial Indonesia dan menjadi bualan ramai.

Manakan tidak, rata-rata warga maya yang melihat video tersebut meluahkan rasa sedih apabila melihat ibu mangsa yang tidak henti-henti memanggil nama anaknya

Lebih menyedihkan lagi, di saat ibu mangsa memanggil anaknya itu, dia turut menggunakan bola berwarna merah yang merupakan barang permainan mangsa dengan harapan mangsa dapat ditemukan segera.

"Bismillahirrahmanirrahim....abang, itu bolanya, bang. Muhammad, Muhammad Rizki, muncul nak. Abang Uta, Muhammad Rizki Putra, ini ibu.

"Muhammad, Muhammad...," katanya dengan harapan agar anaknya itu segera timbul di permukaan air," katanya menerusi rakaman tular tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram