[VIDEO] Bomba sayu keluarkan mayat wanita hamil pangku anak maut dihempap pokok di Kok Lanas


  • 112
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Keadaan kereta Nissan Sentra dinaiki tiga beranak yang dihempap pokok besar di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas pada Sabtu. — Facebook/OrangAwam

TIGA beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok semasa melalui laluan di Jalan Machang-Kota Bharu dekat Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Difahamkan, kejadian berhampiran Kem Desa Pahlawan itu berlaku kira-kira pukul 8.04 malam (Sabtu) semasa kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki keluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Machang ke Kota Bharu.

Lebih menyayat hati lagi, wanita yang maut ditemui dalam keadaan sedang meriba anaknya berusia lima tahun di tempat duduk hadapan.

Memetik laporan media tempatan, pasukan bomba mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan mayat tiga beranak yang tersepit selepas dihempap pokok berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, bomba mengambil masa dua jam setengah untuk keseluruhan operasi termasuk mengeluarkan mangsa, memotong pokok dan kerja-kerja pembersihan membabitkan 10 anggota, satu jentera dan dua jengkaut.

"Difahamkan wanita itu juga sedang mengandung, selepas mengeluarkan mangsa, kita dapati ketiga-ketiganya sudah meninggal dunia.

"Pokok yang menghempap dua kenderaan itu adalah setinggi 50 meter dan sebesar dua pemeluk tumbang akibat ribut dan hujan lebat," katanya memetik laporan media tempatan.

Dalam kejadian itu, Nik Amirah Nik Ab Rahman, 40, suami, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 dan anak, Nik Aishah Azzahra, 5, yang menaiki kereta Nissan Sentra meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara, dua anak lain, Nik Adilia Zulaikha, 11 dan Nik Adam Zarif, 9, yang berada di tempat duduk belakang cedera dan dibawa ke Hospital Machang.

Sementara, pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta Honda City, Shamsiemon Mukhtar, 53, bersama isteri, Jahnilawati Mohd Zain, 52 dan tiga anak, Muhammad Aliff, 26; Muhammad Aiman, 23 dan Isyatul Amalin, 20 terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Roslan berkata, operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Bahagian Trafik Balai Kok Lanas, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang membantu memotong dan mengalihkan potongan pokok.

Mayat ketiga mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram